Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan bakal memperkenalkan pelbagai insentif cukai khas bagi merancakkan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.
Langkah ini bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelancong asing, tetapi juga menggalakkan rakyat tempatan bercuti dalam negara. Antara insentif yang diumumkan termasuk:
1. Potongan cukai sehingga RM500,000
Diberikan kepada pengusaha projek pelancongan yang membuat ubah suai atau pembaharuan premis perniagaan seperti hotel, resort atau taman tema.
2. Pengecualian cukai 100% kepada pengendali pelancongan
Syarikat yang berjaya meningkatkan pendapatan melalui pakej pelancongan ke Malaysia akan menikmati pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya atas nilai peningkatan tersebut.
3. Pengecualian cukai penuh untuk penganjur acara antarabangsa
Syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan Persidangan, Pameran Perdagangan dan Insentif bertaraf antarabangsa (MICE) akan mendapat pengecualian 100% cukai pendapatan berkanun.
4. Pengecualian cukai 50% untuk acara seni dan sukan antarabangsa
Penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi yang melibatkan peserta luar negara akan diberi pengecualian 50% cukai pendapatan berkanun.
5. Pelepasan cukai individu hingga RM1,000
Untuk rakyat Malaysia sendiri, kerajaan turut memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan ke atas bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
Langkah ini dijangka memberi suntikan baharu kepada industri pelancongan yang menjadi antara tunjang utama ekonomi negara, di samping mengangkat Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia menjelang 2026.
Dalam pada itu, PMX turut mengumumkan buat pemandu teksi, pengecualian 100% duti eksais dan pengecualian 100% cukai jualan akan diteruskan ke atas pembelian kereta nasional baharu PROTON dan PERODUA oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.
Bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi, HRD Corp menyediakan 10 juta ringgit untuk menanggung kos kursus dan elaun kepada pemandu teksi berlesen yang bercarum menjalani latihan peningkatan kapasiti.
Sumber: MOF