Filem Eternals daripada Marvel telah mula ditayangkan awal bulan ini. Eternals menampilkan barisan pelakon yang hebat antaranya Angelina Jolie, Salma Hayek, Gemma Chan dan ramai lagi. Filem superhero telah mencatatkan kutipan tiket sebanyak $161 juta pada minggu pertama ditayangkan.
Dalam kumpulan superhero Eternals itu, ada satu watak dengan kelainan upaya iaitu pekak dan bisu. Watak Makkari yang dilakonkan oleh Lauren Ridloff itu berkomunikasi sesama watak lain dengan menggunakan bahasa isyarat.
Ridloff yang dilahirkan dengan dengan masalah pendengaran menjadi superhero pekak pertama dalam Marvel Cinematic Universe. Pelakon berusia 43 tahun itu telah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Douglas Ridloff yang juga merupakan penyair dan visual storyteller yang berkhidmat bersama American Sign Language.
Memetik laporan Independent UK, permintaan untuk belajar bahasa isyarat telah meningkat sebanyak 250% selepas tayangan Eternals di seluruh dunia. Satu kajian yang dijalankan oleh Preply telah menunjukkan carian mengenai kelas bahasa isyarat atas talian telah meningkat dengan mendadak sejak 1 November lalu.
Rata-rata carian melibatkan ‘belajar bahasa isyarat untuk pemula’, ‘maksud bahasa isyarat’ dan ‘tutor bahasa isyarat’. Perkara ini turut menggembirakan pengarah Eternals, Chloe Zhao yang telah memilih barisan pelakon dari pelbagai latar belakang untuk mewakili kepelbagaian penduduk dunia dalam filem itu.
Baca: Angelina Jolie Kesal Ada Negara Haramkan Eternals Anggap Satu Bentuk Kejahilan