Siapa je yang tak kenal dengan pendakwah, pakar motivasi, usahawan dan aktivis Ebit Lew ni kan? Selain daripada mempunyai beberapa syarikat seperti syarikat peruncitan, restoran dan butik sendiri, pendakwah ni sememangnya terkenal dengan kerja amalnya membantu rakyat Malaysia.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan bin Ibrahim Lew ini mempunyai pertubuhan amalnya sendiri iaitu Pertubuhan Kasih Umat Malaysia. Pertubuhan ni dah banyak membantu rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan sama ada dari sudut kewangan mahupun bantuan asas.
Pertubuhan ini juga memberi bantuan tanpa mengenal bangsa dan agama. Selalunya kalau ada je kes viral rakyat Malaysia yang perlukan bantuan, mesti pertubuhan ni akan laju bertindak menolong. Baru-baru ni, viral Ustaz Ebit Lew hadiahkan sebuah kereta yang dibeli secara tunai kepada seorang wanita ini.
Menurut Astro Awani, tular di sosial media sebelum ini tentang seorang wanita orang kurang upaya (OKU) duduk di bahagian penumpang motosikal roda tiga sambil menahan panas terik matahari. Keperitan wanita menjaga makciknya yang OKU telah mendapat perhatian pendakwah bebas ini.
Menerusi perkongsian di Facebook Ebit Lew sendiri, dia berkongsi perjalanannya ke Terengganu usai solat Subuh pagi tadi semata-mata untuk berjumpa dua wanita cekal ini dan terus bawa mereka beli kereta di Perodua Kuala Terengganu.
“1 Ramadan kami dapat hadiahkan kereta Perodua Bezza baru untuk akak yang viral kebaikannya menjaga makciknya sakit OKU dalam motor roda tiga di Terengganu”
“Kami bayar cash kereta ni untuk hadiah pada kakak ni” – Ebit Lew
Ebit Lew turut menambah yang wanita tersebut menjual aiskrim potong dan jika ada sesiapa yang mahu membantunya boleh beli aiskrim yang dijual dan sponsor untuk anak yatim atau majlis buka puasa.
Bulan-bulan puasa ni eloklah kita banyakkan bersedekah dan bantu mana yang mampu. Betul tak korang?