Digelar sebagai roller coaster terlaju di dunia, Do-dodonpa di Taman Tema Fuji Q, Jepun terpaksa ditutup buat sementara waktu selepas beberapa pengunjung dilaporkan mengalami kecederaan tulang retak.
Semenjak bulan Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya enam pengunjung mengalami kecederaan tulang retak selepas menaiki roller coaster dengan kelajuan ‘maut’ itu. Difahamkan, empat daripada pengunjung tersebut mengalami retak tulang belakang atau di bahagian leher.
Permainan roller coaster itu telah digantung buat sementara waktu selepas berlaku satu lagi kecederaan yang dilaporkan pada 17 Ogos lalu. Bagaimanapun, tempoh penutupan sementara ini masih belum diberitahu tempohnya.
Do-Dodonpa dibina pada tahun 2001, memecah rekod dunia kerana mampu bergerak pada kelajuan 180.24 kilometer per jam (km/j) dalam masa 1.56 saat sahaja.
Untuk rekod, kelajuan permainan ini pernah diubah pada tahun 2017 untuk menjadikannya lebih laju. Pihak taman tema telah meningkatkan kelajuan tunggangan dari 170 km/j hingga ke 180.24 km/j.
Pihak pengurusan taman tema mendakwa tiada masalah teknikal yang dikesan selepas pemeriksaan dibuat. Bagaimanapun, mereka memohon maaf kepada pengunjung yang cedera di atas kejadian ini.
Sumber: VICE
BACA: Roller Coaster Paling Laju, Tinggi & Panjang Di Dunia Bakal Dibina Di Riyadh, Arab Saudi