Seorang wanita berstatus janda anak satu mendakwa telah diserang lima wanita di hadapan sebuah hotel di Tawau, pada Isnin lalu.
Kejadian yang berlaku pada pukul 11 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan dan pendarahan di bahagian muka dan kepala.
Mangsa yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis mendakwa insiden berlaku ketika dia mahu memasuki kenderaan sebelum mendapati empat tayar keretanya telah dipancitkan.
Artikel berkaitan: Wanita Kongsi Kisah Penyondol Dalam Keluarga, Kakak Ipar Mengandungkan Anak Suami Sendiri
Artikel berkaitan: Peguam Jelaskan Bagaimana Pasangan Curang Boleh Didakwa Dalam Konteks Undang-Undang Syariah
“Tidak lama kemudian, dia didatangi oleh lima orang wanita yang tidak dikenali sebelum menyerang dan memukul pengadu hingga mengakibatkan dia mengalami beberapa kecederaan dan pendarahan di muka, belakang dan sebelah kiri kepala.
“Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh abang mangsa yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu,” kata Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin.
Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila mangsa yang berstatus ibu tunggal dituduh sebagai perampas suami orang walaupun dia mendakwa kekasihnya masih bujang.
Siasatan polis mendapati mangsa ada mengenali seorang lelaki yang tinggal sekampung sebelum menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih lebih kurang sebulan.
Susulan itu, polis telah menahan lima suspek yang berusia antara 16 hingga 62 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Sumber: Kosmo!, Harian Metro