Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang pada awalnya dilaporkan hilang dari sebuah pangsapuri selepas turun mengambil makanan dari kereta dekat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang pada 8 Oktober lalu dipercayai menjadi mangsa culik.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kanak-kanak terbabit turut dipercayai menjadi mangsa cabul oleh beberapa suspek yang menculiknya.
Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa menaiki sebuah kereta oleh empat suspek termasuk seorang wanita yang dikenalinya.
Artikel berkaitan: “Jumpa dalam guni” – Gara-gara Cemburu, Anak Kecil 6 Tahun Dib*nuh Kejam Oleh Ibu Tiri
Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah pangsapuri di Setia Alam dan ‘ditahan’ selama empat hari.
“Menurut mangsa, dia diberikan rokok elektronik yang mengkhayalkan sebelum dicabul. Mangsa turut didera tetapi tidak ketara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak perempuan itu dijumpai semula kira-kira jam 2.30 petang pada Sabtu lalu.
Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis sekitar lokasi kejadian mendapati mangsa berjalan kaki sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi berwarna hitam.
Dalam pada itu, polis mengesahkan siasatan mendapati mangsa juga dirancang untuk dijual kepada sindiket pelacuran di kawasan Chow Kit.
“Satu daripada suspek terbabit yang juga ketua kumpulan itu berusaha menjual mangsa kepada sindiket pelacuran.
“Namun apabila polis menguar-uarkan berita kehilangan mangsa, sindiket yang hendak membeli mangsa tidak jadi membelinya.
“Jadi mereka bawa balik dan minta mangsa balik dengan kenderaan e-hailing,” katanya.
Susulan kes itu, polis menangkap enam suspek termasuk dua yang didakwa mencabul mangsa. Difahamkan, dua daripada enam suspek terbabit dikenali mangsa yang mana salah seorangnya bekas kekasih abang mangsa.
“Sebab itu mangsa pada awalnya sudi ikut suspek naik kenderaan sebab dia kenal suspek dan ada perempuan dalam kereta itu,” katanya.
Katanya, polis kini sedang memburu dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian