Dua tokoh akademik nekad memfailkan saman terhadap pelakon Rita Rudaini selepas mendakwa difitnah sejak beberapa bulan lalu dan notis tuntutan RM1 juta sebelum ini tidak dipatuhi.
Menurut laporan, Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor, dan timbalannya, Saidah Haris @ Harith, memfailkan saman berkenaan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.
Kata peguam mereka, saman itu difailkan selepas mendapati pelakon wanita terbabit memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.
Artikel berkaitan: Rita Rudaini Tak Setuju Peperiksaan Dimansuhkan, Anggap Silibus Punca Stress
Artikel berkaitan: “Allah yang pegang rezeki” – Pernah Diboikot Sebab Vaksin, Rita Rudaini Titip Pesanan Buat Rakan Artis

Dilabel prof kangkung, gila jawatan, narsis…
“Antara label fitnah yang dipertikaikan termasuk dakwaan mereka bongkak, narsis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui MUAFAKAT.
“Kenyataan tersebut turut dikaitkan dengan tuduhan salah urus wang ibu bapa, sekali gus mencetuskan penerbitan sebuah artikel yang memetik dakwaan mengenai kepincangan MUAFAKAT MRSM,” kata peguam Datuk Adnan Seman.
Kenyataan tersebut telah memberi reputasi besar kepada kedua-dua plaintif memandangkan bilangan pengikut Rita dalam media sosial cukup ramai.
“Plaintif percaya defendan bertindak secara semberono serta mempunyai niat tidak baik apabila memuat naik kenyataan tanpa semakan.
“Justeru mereka menuntut perintah injunksi, permohonan maaf berbentuk video selama tiga bulan, pemadaman semua kenyataan fitnah serta ganti rugi am, teruk, pengajaran dan faedah 5% setahun,” jelasnya.
Difahamkan, tindakan saman tersebut difailkan selepas Rita gagal memenuhi tuntutan notis bertarikh 15 Oktober lalu.
“Defendan tidak memadam pernyataan fitnah, tidak mengemukakan permohonan maaf dan tidak membayar ganti rugi am RM1 juta seperti diminta.
“Maka kes ini diangkat ke mahkamah,” tegasnya.
Sekadar info, plaintif pertama iaitu Mohd Roslan merupakan pensyarah kanan Universiti Malaya manakala plaintif kedua Saidah pula seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru.
Sumber: Kosmo!
