Isteri pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutan (FRU) mendedahkan suaminya, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin sedang berperang dengan emosi sendiri apabila kini dibelenggu rasa bersalah.
Mohd Harrisul merupakan pemandu trak yang membawa 18 anggota FRU Unit 5 ketika kenderaan itu terbabit kemalangan dengan lori membawa muatan batu yang meragut 9 nyawa rakan sepasukannya.
Menurut laporan Berita Harian, Nor Ain Ahmad Hesam berkata suaminya yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan sering menyalahkan dirinya atas kejadian itu.
Artikel berkaitan: Nahas FRU: Isteri Koperal Syed Isfan Dedah Keadaan Suami, Sudah Jalani 3 Pembedahan Di Perut & Dada
Artikel berkaitan: “Tolong encik, tolong selamatkan saya” – Bomba Sebak Dengar Rintihan Pemandu Trak FRU Ketika Masih Sedar
“Dia baru tahu semalam bahawa sembilan rakannya meninggal dunia. Dia rasa bertanggungjawab kerana dia yang memandu.
“Dia kata dia rasa bersalah. Saya pujuk dia supaya tidak salahkan diri. Dia juga minta maaf kepada rakan-rakannya.
“Semalam, dia buat panggilan video kepada Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) dan minta maaf secara bersemuka,” katanya.
Tambah Nor Ain lagi, tiada anggota yang menuding jari terhadap suaminya susulan apa yang berlaku malah, mereka memberi sokongan moral sepenuhnya kepada Mohd Harrisul.
“Tiada seorang pun yang salahkan dia. Ramai rakan hubungi dan beri sokongan moral. Mereka faham situasi sebenar dan minta dia jangan tanggung rasa bersalah itu seorang diri,” katanya.
Susulan nahas itu, Mohd Harrisul mengalami kecederaan pada kepala dan beberapa tulang rusuk patah.
Dalam pada itu, Nor Ain memaklumkan suaminya kini sudah sedar sepenuhnya tetapi dia tidak ingat langsung apa yang berlaku ketika kemalangan.
Sumber: Berita Harian