Seperti yang kita tahu, restoran-restoran yang memiliki bintang Michelin ni adalah kedai makan yang bukan calang-calangnya dan selalunya restoran tersebut akan kelihatan lebih mewah yang menghidangkan juadah makanan yang berkualiti tinggi.
Tapi korang perasan tak, penilaian ‘Michelin Star’ ni sebenarnya daripada syarikat tayar Michelin yang maskotnya berwarna putih tu? Peliknya, dua industri yang tiada perkaitan langsung ni boleh bergabung sampai jadi satu ikon eksklusif dalam dunia.
Jadi, kalau korang curious macam mana syarikat tayar Michelin boleh jadi penilai restoran terbaik di dunia, boleh baca artikel bawah ni.
Syarikat Michelin
Syarikat Michelin ini telah ditubuhkan pada tahun 1889 oleh adik-beradik Édouard Michelin dan André Michelin. Édouard merupakan seorang jurutera yang bertanggungjawab terhadap teknologi tayar, manakala André pula kreatif dalam pemasaran. Gabungan kepakaran mereka menjadikan jenama Michelin berkembang pesat.
Dalam usaha membina identiti jenama, André juga memperkenalkan maskot ikonik yang hampir semua orang kenal, iaitu ‘Michelin Man’.
Pada era awal abad ke-20, watak ini digambarkan sebagai figura yang elit dengan gayanya yang memegang gelas champagne sambil menghisap cerut sebagai simbol bahawa pelanggan sasaran mereka pada masa itu adalah golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan.
Artikel Berkaitan: Restoran Di KL & Pulau Pinang Akan Merebut Pengiktirafan Michelin, Keputusan Bakal Diketahui Disember Ini – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: 4 Restoran di KL & Penang Terima ‘Bintang’ Untuk Anugerah Michelin – Lobak Merah
Penerbitan Michelin Guide
Jadi, untuk menggalakannya lebih ramai orang memandu, di samping nak meningkatkan jualan tayar, André telah hasilkan sebuah buku panduan untuk pemandu.
Dalam buku panduan tersebut ada maklumat yang penting seperti peta jalan, lokasi stesen minyak, bengkel, hotel dan tempat makan yang sesuai untuk persinggahan para pemandu. Perkara yang paling tak sangka adalah, restoran menjadi antara yang paling mendapat perhatian, menyebabkan wujudnya asas kepada penerbitan Michelin Guide yang kita kenal hari ni.
Namun sekitar tahun 1922 ketika André melawat ke salah satu pengedar tayar, dia terkejut apabila nampak Michelin Guide yang mereka hasilkan dengan penuh usaha tu dijadikan ‘penahan meja’ yang senget. Pada waktu itulah dia mula sedar bahawa orang cuma akan menghargai sesuatu bila mereka perlu bayar untuknya.
Sejak itu, Michelin membuat keputusan untuk tidak lagi memberi panduan tersebut secara percuma. Sebaliknya, mereka mula menjual dengan harga 750 franc senaskhah. Di samping itu, mereka juga buat beberapa perubahan besar iaitu menambah lagi senarai restoran mengikut kategori dan hotel-hotel yang disyorkan serta membuang halaman iklan supaya panduan tersebut nampak lebih eksklusif.
Disebabkan sambutan luar biasa tu, Michelin pun mula melantik penilai makanan profesional atau juga dikenali sebagai Michelin Inspectors yang tugasnya adalah pergi makan ke restoran secara rahsia dan menilai restoran tersebut berdasarkan kualiti makanan, konsistensi rasa dan keseluruhan pengalaman pelanggan.
‘Rating’ dengan menggunakan tanda bintang
Sejak tahun 1936, Michelin sudah mengekalkan sistem penilaian yang kini terkenal di seluruh dunia sebagai ‘Michelin Star’. Restoran akan dinilai antara satu hingga tiga bintang.
- Satu bintang – Masakan yang bagus dan konsisten
- Dua bintang – Masakan yang sangat bagus dan berbaloi untuk dikunjung walaupun tidak sehala dengan laluan asal
- Tiga bintang – Masakan yang luar biasa dan patut untuk disinggah
Sistem penilaian ni dikatakan untuk membuat lebih ramai lagi orang datang singgah ke restoran-restoran yang dianugerahkan dengan ‘Michelin Star‘.
Tapi tujuannya bukan itu saja. Sebenarnya, ia juga merupakan cara untuk menggalakkan orang ramai memandu lebih jauh bagi mencuba restoran yang berstatus Michelin Star. Bila ramai orang memandu, makin banyaklah pelanggan Michelin yang memerlukan servis tukar tayar. Bijak kan strategi perniagaan Michelin ni?
Siapa sangka yang niat asal Michelin ni cuma nak bagi panduan pada pemandu untuk ke mana saja, tapi akhirnya jadi penanda aras paling tinggi dalam dunia kulinari. Negara kita juga sebenarnya tidak terkecuali tau! Banyak restoran di Malaysia yang sebenarnya sudah pernah dikunjungi Michelin dan mendapat pengiktirafannya.
Maka, terbuktilah Michelin berjaya dalam menyusun strategi pemasaran kreatif syarikatnya sehingga boleh dikenali di mata global sehingga hari ini.
Sumber: TRP, CNN Indonesia