Seorang pelajar yang ingin menjalani latihan amali di Perak kecewa selepas tiba di bilik sewanya baru-baru ini kerana ianya tidak seperti apa yang dijanjikan pemilik berkenaan.
Menurut laporan, sewaan bilik yang terletak di Manjung pada harga RM300 itu bukannya bilik tetapi hanyalah unit rumah kedai yang telah dipasang sekatan (partition). Bukan itu sahaja, ia juga tidak mempunyai pengudaraan dan hanya ada katil dan sebuah locker.
Tambah Ikhmal, dia tidak dapat ke lokasi bilik sewa di Manjung itu untuk menyaksikan sendiri saiz bilik tersebut sebelum bersetuju kerana dia menetap di Terengganu dan memerlukan bilik berkenaan selama 7 minggu untuk menjalani latihan klinikal di sana.
Menurutnya lagi, bilik berkenaan dipilih kerana ianya dekat dengan tempat internnya.
“Macam duduk dalam kotak, bilik panas tapi kena tahan lah 7 minggu”
Tambah Ikhmal, dia terpaksa tinggal di bilik berkenaan dan tidak mahu mencari bilik lain kerana telah membuat bayaran pendahuluan selain pemilik mula mengira tempoh sewaan bermula bayaran deposit dibuat iaitu dua minggu sebelum dia menduduki bilik berkenaan.
Kalau nak diikutkan, Ikhmal bukanlah mangsa pertama ‘penipuan’ bilik sewa yang viral di media sosial.
Menurut peguam, Derek Fernandez, penyewa perlu menandatangani perjanjian penyewaan yang merangkumi klausa yang menetapkan bahawa pemilik telah mematuhi undang-undang yang berkaitan dengan hartanah.
Tambahnya lagi, perjanjian itu sepatutnya menyatakan bahawa tuan tanah bertanggungjawab jika ia adalah kenyataan palsu, juga mesti dicop supaya ia boleh diterima di mahkamah. Namun, sekiranya tidak dicop, dokumen bertulis yang mengandungi tandatangan juga sudah memadai, ujarnya.
Fernandez berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada majlis tempatan sekiranya mendapati mana-mana bangunan telah diubah suai tanpa mendapat kelulusan.
Baca : “Besar saiz tandas” – Ramai Terkejut Ruang Tepi Balkoni Dijadikan Bilik Sewa Harga RM600