Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula had umur persaraan wajib yang ditetapkan pada usia 60 tahun kepada 65 tahun kerana ramai individu pada usia itu dilihat masih sihat dan berpengalaman.
Menurutnya, langkah tersebut wajar dipertimbangkan memandangkan usia 60 tahun kini dianggap masih muda di kebanyakan negara.
Itu pandangan peribadi saya sahaja. Bila saya pergi ke mesyuarat menteri undang-undang ASEAN, ramai yang berkongsi bahawa di negara mereka, hakim bersara pada umur 65 tahun dan ada juga yang sampai 70 tahun.
“Di Malaysia, hakim bersara pada umur 65 tahun dan boleh sambung enam bulan lagi jika diluluskan. Jadi, saya rasa kerajaan patut kaji semula perkara ini,” katanya.
Artikel berkaitan: Pelajar Sebak Menang Cabutan Bertuah Pakej Umrah, Hadiah Daripada Guru Bersara
Artikel berkaitan: Pakar Beri Amaran Mungkin Ramai Rakyat Malaysia Jadi Miskin Lepas Bersara, Ini Sebabnya…
Ramai kurang setuju pandangan had umur persaraan 65 tahun
Walau bagaimanapun, pandangan peribadi yang diutarakan oleh Azalina mendapat reaksi yang kurang senang daripada netizen.
Rata-ratanya berpendapat lanjutan usia persaraan kepada 65 tahun sebagai tidak wajar kerana di usia sebegitu, individu sepatutnya berehat di rumah bersama keluarga.
Malah ada juga yang mengatakan peningkatan usia persaraan ini akan membuatkan golongan muda kurang peluang pekerjaan kerana pekerjaan tersebut masih diisi oleh golongan yang berusia.
Ramai cadang tetapkan umur persaraan ke 50 tahun semula
Dalam pada itu, ada di kalangan netizen yang mencadangkan agar umur persaraan ditetapkan kembali ke usia 50 tahun seperti sebelum ini. Hal ini kerana, ada yang mengatakan golongan pesara ini tidak sempat pun merasa duit persaraan kerana dijemput Ilahi terlebih dahulu.
Sebagai info, pada tahun lalu juga, firma perundingan pencen global menyarankan agar had usia persaraan di negara ini perlu dinaikkan dalam tempoh terdekat kerana terdapat pelbagai keperluan mendesak mengenainya terutamanya dalam purata jangka hayat individu negara sekitar 75 tahun ke atas.
Ini juga menjadikan Malaysia dijangka negara tua menjelang 2043, iaitu dengan 14 peratus penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas susulan kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.
Korang setuju atau tak kalau kerajaan nak naikkan umur persaraan kepada 65 tahun?
Sumber: Sinar Harian