Walaupun kempen anti-merokok sudah dijalankan selama bertahun-tahun, hampir 1 daripada 5 rakyat Malaysia dewasa masih merupakan perokok aktif pada tahun 2025. Malah, menurut satu kajian baru-baru ini, Malaysia masih belum menunjukkan penurunan ketara dalam kemampuan membeli rokok sejak 2014. Ia sekaligus menyukarkan usaha untuk mengurangkan kadar merokok dalam negara.
Namun di sebalik statistik dan kempen kesedaran, masih ramai yang tidak tahu tentang bahaya sebenar yang tersembunyi dalam sebatang rokok. Artikel ini membongkar tiga fakta penting yang mungkin tidak pernah korang dengar tetapi mampu menyelamatkan nyawa jika difahami.
1. Pembakaran—Penyebab Utama Yang Sering Diabaikan
Setiap kali sebatang rokok dinyalakan, tembakau di dalamnya dibakar pada suhu tinggi. Proses pembakaran ini menghasilkan lebih dari 7,000 bahan kimia, dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 250 daripadanya adalah berbahaya atau berpotensi berbahaya kepada kesihatan manusia.
“Asap pembakaran menghasilkan bahan kimia berbahaya yang disedut oleh perokok setiap hari.” Ini bukan sekadar frasa dramatik—ianya realiti yang berlaku dalam setiap sedutan rokok.
2. Tar & Asap VS Nikotin—Mari Perbetulkan Salah Faham
Satu salah faham besar dalam kalangan masyarakat ialah menganggap nikotin sebagai punca utama penyakit berkaitan merokok. Sebenarnya, nikotin memang menyebabkan ketagihan, tetapi ia bukan punca utama kepada kanser, penyakit paru-paru atau masalah jantung.
Sebaliknya, tar dan asap hasil pembakaran itulah yang menyebabkan kerosakan tisu organ dan sistem dalaman. Tar menyumbat saluran pernafasan dan membawa kepada komplikasi jangka panjang.
“Ramai salah faham, menyangka nikotin yang membunuh—sebenarnya asap dan tar yang merosakkan organ.”
3. Pengurangan Kemudaratan—Konsep Yang Perlu Dibincangkan
Dalam dunia perubatan, konsep “pengurangan kemudaratan” (harm reduction) bukanlah sesuatu yang asing. Ia merujuk kepada pendekatan di mana mereka yang tidak mampu berhenti sepenuhnya, dibantu dengan cara mengurangkan risiko terdedah kepada bahan toksik.
Menurut satu laporan pada 2025, jika strategi pengurangan bahaya diadaptasi secara menyeluruh, ia boleh menyelamatkan sehingga 880,000 nyawa di negara-negara seperti Malaysia dan Uzbekistan.
Namun di Malaysia, perbincangan terbuka tentang pendekatan ini masih terlalu senyap. Ia bukan soal menggalakkan merokok—tetapi soal membantu perokok dewasa membuat keputusan yang lebih bijak dan berdasarkan fakta.
Pilih Dengan Ilmu, Bukan Dengan Stigma
Tahun demi tahun, lebih 27,000 nyawa terkorban di Malaysia akibat penyakit berkaitan merokok—satu angka yang membimbangkan.
Dalam dunia yang penuh asap dan stigma, kita perlukan lebih banyak cahaya—yakni ilmu pengetahuan. Maklumat bukan sekadar pengetahuan, tetapi bentuk perlindungan diri. Sudah tiba masanya untuk kita buka semula perbualan ini—berpandukan sains, bukan hanya persepsi.