Sejak kelmarin, berita kehilangan kanak-kanak berusia 19 bulan, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi menjadi kegusaran ramai dan setakat ini, masih belum ada petunjuk mengenai keberadaan kanak-kanak itu.
Bapa kepada Hud Aryan, Mohd Nor Hafifi Saidi, 34 bagaimanapun berpendirian anaknya itu masih hidup dan berada di darat bukan di sungai seperti yang dikatakan.
Artikel berkaitan: Masih Belum Ditemui, Bomba Guna 2 Anjing K9 Kesan Kanak-kanak 19 Bulan Hilang
Artikel berkaitan: “Belum puas bermanja” – Ibu Hud Aryan Banyak Menangis, Tidak Keruan Fikirkan Nasib Anak Yang Hilang
“Firasat hati saya sebagai bapa kuat mengatakan anak saya masih hidup.
Sejak kehilangan anak tunggal kami, saya sendiri turut sama mencari. Kawasan anak sungai, kawasan hutan di tepi rumah, semua saya pergi bersama pasukan penyelamat dan penduduk kampung.
Walaupun lebih 36 jam belum ada petunjuk dan masih belum ditemukan, namun hati saya mengatakan anak kesayangan kami masih ada dan hidup. Firasat saya, Hud Aryan berada di darat, bukan di kawasan sungai,” katanya.
Nor Hafifi juga menyifatkan kejadian yang menimpa dia dan keluarga itu sesuatu yang sangat perit dan sangat berat untuk ditanggung.
Dalam pada itu, ibu kepada Hud Aryan, Azean Nur Atikah Ramley, 34 berkata kehilangan anaknya itu sangat misteri kerana hanya dalam masa beberapa minit kanak-kanak itu sudah hilang tanpa jejak.
“Sungguh misteri kehilangan anak saya kerana hanya dalam beberapa minit, jejaknya sudah hilang. Namun, ramai ustaz atau pengamal perubatan Islam mengatakan anak saya ‘disembunyikan’ makhluk halus, menyebabkan sehingga kini gagal dikesan.
Saya tiada musuh dan kehilangan anak saya juga adalah tragedi pertama di kampung ini. Anak saya memang suka air dan seorang yang aktif, namun tidak pernah mandi sendirian di kawasan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan operasi SAR yang bermula pagi ini akan menggunakan dua anjing pengesan dari unit K9.
Pada masa sama, operasi yang turut dibantu penduduk kampung itu akan diperluaskan pada hari ini yang sudah memasuki hari ketiga.
Sumber: Harian Metro