in

Bukan Biasa-biasa, Ini 6 Wanita Pertama Malaysia Cipta Sejarah Dalam Pelbagai Bidang

Untitled design 6

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Siapa kata sejarah negara hanya dipenuhi dengan kisah tokoh lelaki? Hakikatnya, ramai wanita hebat yang telah mencatat pencapaian luar biasa hingga menjadi yang pertama dalam bidang masing-masing. Ramai antara mereka berjaya mencipta pencapaian pertama yang membuka jalan buat generasi seterusnya.

Mereka bukan sekadar berdiri di belakang tabir, tetapi wanita-wanita ini juga melakar sejarah dalam dunia undang-undang, politik, kewartawanan, sains mahupun pentadbiran negara. Legasi mereka terus menjadi inspirasi sehingga hari ini.


Jom kita kenal 6 wanita-wanita hebat ini yang menjadi pelopor untuk generasi seterusnya.

1. Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah Hashim 

fatimahhashim

Dalam lipatan sejarah negara, ada satu detik penting yang telah membuktikan wanita juga mampu memimpin di peringkat tertinggi. Pada tahun 1969, Tun Fatimah Hashim menjadi wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia dengan memegang portfolio Menteri Kebajikan Am sehingga Februari 1973.

Perjalanan hidupnya bermula di Johor, di mana beliau menimba ilmu di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma dan Sekolah Melayu Perempuan Mersing. Tidak cukup dengan itu, beliau turut belajar bahasa Inggeris daripada seorang guru di Sekolah Convent Johor Bahru, sesuatu yang jarang dilakukan oleh wanita Melayu pada zaman tersebut. Keberanian dan minatnya dalam menuntut ilmu menjadi asas kepada perjalanan politiknya yang penuh warna.

Kerjayanya bermula pada tahun 1947 ketika menyertai UMNO pada usia 21 tahun. Dari jawatan kecil di peringkat cawangan, beliau akhirnya menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya pada tahun 1956 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Jitra-Padang Terap selama tiga penggal berturut-turut bermula 1959.

Jasa beliau akan sentiasa dikenang kerana sanggup turun padang membantu mangsa Peristiwa 13 Mei 1969 di Kampung Chubadak dan Kampung Chempedak, di mana lebih 1,000 orang menerima bantuan makanan, pakaian dan keperluan asas.

Walaupun berundur daripada jawatan pada 1972 selepas tewas dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO, legasi beliau sebagai wanita pertama dalam kabinet Malaysia kekal menjadi simbol keberanian dan inspirasi buat generasi hari ini.

Artikel berkaitan: “Dari Merdeka hingga Malaysia Moden” – Ini 7 Ucapan Ikonik Pemimpin Yang Membentuk Negara Kita Hari Ini – Lobak Merah

Artikel berkaitan: Seabad Tun Dr Mahathir, ‘Throwback’ Detik Manis Dalam Pembangunan Malaysia – Lobak Merah

2. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Mazlan Othman 

dr mazlan othman

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Mazlan Othman pula berjaya membuktikan bahawa impian tidak mengenal jantina, wanita juga mampu mengejar bidang yang mereka ingin meskipun setinggi angkasa.

Beliau bukan sahaja wanita pertama Malaysia dalam bidang astrofizik, malah beliau juga merupakan individu yang membuka pintu negara ke dunia penerokaan angkasa. Sepanjang kerjayanya, beliau turut berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memajukan sains angkasa di peringkat global.

Minatnya terhadap fizik mula berputik sejak zaman sekolah di Kolej Tunku Kurshiah. Ketika ramai menjangkakan beliau akan memilih kerjaya dalam bidang perubatan yang kononnya lebih sesuai untuk wanita ketika itu, beliau nekad untuk mengejar minatnya dalam fizik.

Hasilnya, beliau menjadi wanita pertama memperoleh PhD dalam Astrofizik dari Universiti Otago, New Zealand pada 1981.

Kerjaya akademiknya berkembang pesat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di mana beliau membangunkan kurikulum astronomi dan astrofizik pertama negara. Namun pada tahun 1990, beliau membuat langkah berani dengan meninggalkan dunia akademik untuk berkhidmat kepada masyarakat melalui mengetuai pembinaan Planetarium Negara yang menjadi ikon sehingga hari ini.

Dr. Mazlan Othman turut diiktirafkan sebagai Professor Emerita oleh UKM sebagai penghormatan atas sumbangan besar beliau dalam bidang astrofizik dan pembangunan industri angkasa negara.

Kisah perjalanan hidup beliau bukan sekadar mengenai gelaran semata-mata atau pencapaian ilmiah, tetapi melibatkan sebuah keberanian seorang wanita menentang norma dan mencipta laluan baru untuk generasi akan datang dalam bidang STEM.

3. Puan Seri Janaky Athi Nahappan

janaky

Puan Seri Janaky Athi Nahappan merupakan antara wanita pertama Malaysia yang mencipta sejarah di medan perang, politik dan kebajikan masyarakat. Beliau dilahirkan pada 25 Februari 1925 di Kuala Lumpur. Pada usian 17 tahun, beliau membuat keputusan luar biasa dengan menyertai Tentera Nasional India (INA) yang dibentuk semasa Penjajahan Jepun.

Dalam pasukan itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Kapten dan dilantik sebagai Penolong Pegawai Memerintah Rejimen Jhansi, iaitu satu-satunya rejimen wanita dalam INA, serta bertempur di sempadan Burma-India ketika Perang Dunia Kedua bagi menuntut kemerdekaan India.

Selepas perang tamat, beliau pulang ke Malaya dan bersama-sama John Thivy untuk mengasaskan Kongres India Malaya (kini dikenali sebagai MIC) pada tahun 1946 sebagai parti politik India pertama di negara ini. Puan Seri Janaky turut memimpin sayap wanita parti tersebut di peringkat kebangsaan serta memegang jawatan sebagai pengerusi MIC Batu dan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Beliau bukan sahaja aktif dalam perjuangan politik, malah turut merupakan bekas Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Selangor dan terlibat dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) selain pelbagai organisasi kebajikan.

Sumbangannya diiktiraf apabila beliau menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara, termasuk gelaran Padma Shri dari India pada tahun 2000. Penghormatan ini menjadikannya wanita India pertama dari luar India yang menerima anugerah tertinggi tersebut.

Selepas bertahun-tahun mengabdikan diri dalam perjuangan politik, sosial dan kebajikan, Puan Seri Janaky telah disahkan meninggal dunia pada 9 Mei 2014 akibat pneumonia di Kuala Lumpur dan legasinya akan sentiasa kekal sebagai simbol keberanian dalam kepimpinan wanita Malaysia.

4. Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Aishah Ghani 

aishahhhh

Siapa sangka di sebalik perjuangan kemerdekaan dan dunia politik yang pada ketika itu didominasi lelaki, muncul seorang wanita hebat bernama Aishah Ghani yang berjaya mencipta pelbagai gelaran ‘pertama’ dalam sejarah Malaysia.

Beliau bukan sahaja pernah menjadi wartawan dan juruhebah wanita pertama tetapi turut merupakan senator wanita pertama di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa wanita mampu berada di barisan hadapan negara.

Beliau dilahirkan pada tahun 1923 di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor, beliau mendapat pendidikan awal di tanah air sebelum melanjutkan pelajaran ke Sumatera dan Padang. Di sanalah minatnya terhadap politik mula berkembang ketika Malaya masih di bawah jajahan penjajah asing.

Selepas kembali pada era pendudukan Jepun, Aishah menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan menjadi Ketua Pertama Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Beliau juga menjadi wartawan untuk Pelita Malaya sebagai lidah rasmi PKMM bagi menggalakkan wanita menceburi politik dan menyedarkan masyarakat tentang perjuangan kemerdekaan.

Namun kemudian, beliau meninggalkan PKMM dan kembali aktif dalam UMNO. Keberaniannya memperjuangkan isu wanita membolehkan dirinya terpilih sebagai wakil tetap Kaum Ibu UMNO pada awal tahun 1950-an, sebelum dilantik menjadi senator wanita pertama di Dewan Negara tahun 1962.

Selain politik, beliau juga tidak pernah meninggalkan dunia kewartawanannya. Beliau pernah menjadi juruhebah wanita pertama di Radio Malaya serta wartawan di Berita Harian. Beliau turut mencatat sejarah sebagai wakil wanita Malaysia pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Aishah meninggal dunia pada 19 April 2013 pada usia 90 tahun, meninggalkan legasi sebagai ikon kewartawanan dan politik yang gigih memperjuangkan hak dan martabat wanita.

5. Lim Beng Hong 

lim beng hong

Bayangkan dunia undang-undang Tanah Melayu dahulu hanya terbuka untuk kaum lelaki sahaja. Namun, wanita bernama Lim Beng Hong ini telah berani mencabar norma tersebut dan mencatat sejarah sebagai peguam wanita pertama di Tanah Melayu pada tahun 1935.

Lim Beng Hong atau B.H. Oon dilahirkan pada tahun 1912 di Pulau Pinang, beliau tekad melangkah jauh dengan menyambung pelajaran undang-undang di Inner Temple, London. Ketika pulang, undang-undang tempatan tidak membenarkan wanita diterima masuk ke Bar. Jadi, B.H. Oon cabar peraturan itu sehingga ia diubah dan akhirnya diiktiraf sebagai peguam wanita pertama negara.

Keberaniannya bukan hanya di mahkamah. Semasa Perang Dunia Kedua, beliau menyeludup surat untuk banduan perang di Penjara Changi, menunjukkan beliau mempunyai sisi kemanusiaan yang luar biasa. Selepas perang tamat, beliau dilantik menjadi salah seorang daripada dua wanita dalam Majlis Perundangan Persekutuan (1948-1955) yang membentuk asas negara menuju kemerdekaan.

Beliau juga telah menerima pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Pada tahun 1953, beliau dianugerahkan gelaran Officer of the Order of the British Empire (OBE) oleh kerajaan British. Kemuncaknya, pada tahun 1971, beliau menjadi Presiden Persekutuan Antarabangsa Peguam Wanita di samping mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia.

6. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz

zeti akhtar aziz

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang memimpin institusi kewangan tertinggi negara dari tahun 2000 hingga 2016. Sepanjang tempoh 16 tahun itu, beliau menjadi simbol kepada kestabilan ekonomi dan figura paling berpengaruh dalam landskap kewangan Malaysia.

Beliau merupakan anak tunggal Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan Sharifah Azah Aziz Mohamed Alsagoff. Latar belakang keluarganya yang sarat dengan ilmu dan budaya telah membentuk asas minatnya dalam bidang ekonomi. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Malaya sebelum menyambung ke Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat dengan meraih Ijazah Sarjana serta PhD dalam Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa.

Di bawah kepimpinannya, Malaysia berjaya mengharungi pelbagai krisis ekonomi termasuk Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan Global 2008. Zeti Akhtar Aziz dan pasukannya telah memperkenalkan dasar-dasar penting yang boleh memulihkan sistem kewangan negara, memperkukuh kestabilan mikroekonomi serta mengangkat Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terkemuka di dunia.

Sumbangan beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa pula apabila beliau dilantik sebagai ahli lembaga penasihat kewangan global seperti Bank Dunia dan IMF.

Hari ini, nama Zeti Akhtar Aziz sentiasa terpahat dalam sejarah sebagai lambang profesionalisme dan kecemerlangan yang menginspirasikan generasi baharu.

Daripada perjuangan politik, undang-undang, kewartawanan, sains hingga ke kewangan, wanita-wanita ini membuktikan bahawa kegigihan dalam tekad mengejar impian boleh meruntuhkan segala stereotaip. Mereka menjadi perintis dalam bidang masing-masing serta membuka jalan untuk generasi baharu mencipta kejayaan tanpa mengenal batasan.

Kisah mereka juga akan terus diangkat sebagai inspirasi, sebagai tanda tiada bidang yang terlalu sukar dan tiada halangan yang terlalu besar untuk diatasi.

Sumber: UKM, Astro Awani, The Rakyat Post, Malaysia Bangkit, Relevan, iFeminist

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.