in

“Buka kawasan hutan, tebang pokok” – Peneroka Pertama Meninggal Dunia, Felda Imbau Sumbangan Haji Kamaruddin

Ft Peneroka Pertama Meninggal Dunia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Salah seorang individu yang menjadi peneroka pertama di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Kamaruddin Mat Doa meninggal dunia pada Isnin akibat keuzuran pada usia 85 tahun.

Anak sulungnya, Azizah Kamaruddin mengatakan bahawa bapanya terlantar sejak sembilan tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.40 petang di rumah mereka di tanah rancangan tersebut.


Artikel berkaitan : Ramai Simpati, Ini Kronologi Kehilangan Nidza Afham Yang Diakhiri Dengan Penemuan Mayat Di Sungai Klang

Artikel berkaitan : Penyelam TLDM Meninggal Dunia Ketika Operasi Menyelamat, Isteri Minta Jangan Buat Spekulasi

Screenshot 2024 09 10 175407

“Ibu kami, Halijah Montak telah pun meninggal dunia pada 2017 dan arwah ayah sebenarnya akan menyambut usia genap 85 tahun pada 29 September ini. Walaupun sedih tapi kami semua reda dengan kehilangan ini,” kata wanita berusia 53 tahun ini.

Dalam pada itu, Felda dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jasa dan sumbangan Allahyarham Kamaruddin membangunkan tanah rancangan akan terus dikenang seluruh warga Felda.

Menurut agensi yang mempunyai seramai 112,635 peneroka di 321 tanah rancangan seluruh negara ini, Allahyarham Kamaruddin merupakan ikon keberanian dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada generasi peneroka baharu.

Mengimbau semula detik permulaan beliau dalam Felda, bapa kepada 4 anak yang asalnya dari Teluk Intan, Perak itu melaporkan diri di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang pada 29 September 1959.

2801477

“Pemergian beliau mencatatkan sejarah penting kerana beliau adalah antara perintis yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi menjayakan usaha kerajaan membangunkan tanah rancangan Felda yang ketika itu masih belum diteroka.

“Sebelum berpindah ke Lurah Bilut, Haji Kamaruddin menerima arahan untuk membawa barang-barang keperluan asas seperti pinggan mangkuk, perkakas dapur serta peralatan membina rumah seperti cangkul dan kapak.

“Beliau juga dilarang membawa ahli keluarganya pada mulanya, kerana peneroka perlu mendirikan kawasan dan tempat tinggal terlebih dahulu. Segala pergerakan dari Teluk Intan ke Lurah Bilut diuruskan oleh Pejabat Daerah Teluk Intan yang pada ketika itu dikenali sebagai Telok Anson.”

Screenshot 2024 09 10 175447

Sumber melaporkan bahawa Allahyarham Kamaruddin adalah contoh peneroka yang begitu berani dalam menghadapi cabaran apabila tekad meninggalkan kampung halaman termasuk ibu bapa untuk menempuh kehidupan baharu di kawasan hutan belantara.

“Dengan semangat yang kuat, beliau bekerja keras membuka kawasan hutan, menebang pokok, menebas belukar dan menanam benih kelapa sawit dan getah, selain membina kediamannya sendiri.”

“Usaha beliau tidak sia-sia, kerana beliau akhirnya menjadi seorang peneroka yang berjaya dan pernah dilantik sebagai ketua peneroka di Lurah Bilut.”

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut sekarang, Muhamad Asri Lazim menyifatkan pemergian Allahyarham Kamaruddin satu kehilangan besar. Sekadar info, Lurah Bilut merupakan rancangan Felda yang pertama dibuka di negara ini selepas cadangan pembangunan dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri pada 16 Ogos 1957 dan diluluskan pada 1 April 1958.

Sumber : Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.