in

“Brek bas tak berfungsi” – Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa & Pelajar UPSI

ft pemandu bas UPSI

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan yang telah mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, awal pagi semalam tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit.

Jelas Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, ketika kejadian itu, brek bas secara tiba-tiba tidak berfungsi dan dia mendapati bahawa angin bas kosong sehingga keadaan jadi hilang kawalan.


Artikel berkaitan : 13 Jenazah Penuntut UPSI Tiba Di Masjid Hadhari Jam 3 Pagi, Lebih 3,000 Jemaah Laksana Solat Jenazah

Artikel berkaitan : Nahas Bas Pelajar UPSI: Penumpang Dakwa Bas Bau Hangit, Gerak Laju & Terhuyung-hayang

“Saya minta maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam, brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba dan angin bas juga kosong.”

“Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.”

Jelasnya lagi, dia cuba mengelak kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan menurutnya, dia berjaya mengelak empat kenderaan termasuk lori sebelum berlakunya kejadian.

Screenshot 2025 06 10 114420

“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcam. Ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.”

“Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.”

“Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa,” katanya yang kini dirawat di Hospital Taiping, Perak.

Mohd Amirul yang mempunyai pengalaman memandu bas sejak tahun 2016 berkata, dia ada menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik sahaja menyedari yang brek bas tidak berfungsi.

“Mereka yang duduk di kerusi depan mungkin dengar arahan saya tetapi yang berada di belakang kebanyakannya tidur dan menyangka saya sedang marah.”

“Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan sebagai pemandu bas, saya cuba mengelak kemalangan.”

Screenshot 2025 06 10 114208

Jelasnya sambil menahan sebak, Mohd Amirul menepis dakwaan tular yang mengatakan dia memandu laju kerana sudah arif dengan laluan Jeli-Gerik, terutamanya jika ingin menuruni bukit.

Kejadian tersebut telah menyebabkan Mohd Amirul pengsan seketika sebelum sedar dan menjerit meminta pelajar keluar menerusi cermin hadapan bas yang sudah pecah.

“Saya merangkak keluar dan menangis melihat keadaan semua pelajar. Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.”

“Ini pertama kali saya terbabit dalam kemalangan mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.”

“Saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan serahkan kepada pihak polis,” katanya yang berasal di Besut, Terengganu dan kini menunggu untuk menjalani pembedahan di tangan kiri.

Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati kemalangan yang mengorbankan 15 penuntut UPSI berpunca daripada bas yang dinaiki terlanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza, sebelum terbalik.

Sumber : Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.