Sebelum ini, Lobak Merah pernah melaporkan tentang individu yang cuba untuk menjual udara dari konsert Billie Eilish di Singapura. Yes, korang baca betul. Nak jual udara weh ikat dalam plastik.
Lagi gempak, udara itu pulak cuba dijual dengan harga hampir RM50K!
Di Arab Saudi pun rupanya ada jugak kes orang cuba jual barang yang ada ‘tanda’ selebriti ni dengan harga yang tak masuk akal.
Memetik Gulf News, satu platform jual beli online di Arab Saudi menerima kecaman ramai selepas cuba mengiklankan sehelai tisu yang telah ditandatangani seorang penyanyi popular negara itu, Mohammad Abdu.
Untuk rekod, Mohammad Abdu merupakan antara nama individu yang berpengaruh besar dalam dunia muzik Arab sejak tahun 1961.
Tisu terbabit yang mempunyai tulisan, ‘Ini tisu dimiliki oleh Mohammad Abdu’ cuba dijual dengan RM35,792.
Tidak cukup dengan itu, platform jual beli online yang dikenali sebagai Alberwaaz itu turut memperkenalkan pelan pembayaran ansuran sebanyak empat kali sebanyak RM9,925 setiap pembayaran.
Tidak mengejutkan apabila perkongsian item itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial berbangsa Arab. Rata-ratanya terkejut dan sempat melontarkan beberapa komen sarkastik mengenai tisu berkenaan.
“Takkan beli walaupun tisu tu ada kuasa ajaib boleh hapuskan semua kesedihan sekalipun,” tulis seorang pengguna.
“Kalau beli ni suara automatik jadi macam suara beliau ke? Takkan belilah walaupun ditawar harga separuh riyal,” kata netizen lain pula.
Sumber: Gulf News
Baca: Udara Dari Konsert Billie Eilish Di Singapura Dijual, Cecah Harga RM48K Seikat