in

Bermula Sebagai Guru, Kenali Allahyarham Tun Daim Zainuddin Figura Penting Ekonomi Negara

Syaz Ft 2024 11 13T161002.944

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pemergian Tun Daim Zainuddin hari ini mengejutkan rakyat Malaysia, Allahyarham yang merupakan bekas Menteri kewangan Malaysia itu meninggalkan impak besar dalam arena ekonomi Malaysia.

Allahyarham meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya selepas menerima rawatan sejak dua minggu lalu, pada jam 8.21 pagi tadi ketika usianya 86 tahun.


Tun Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, merupakan figura yang penting dalam mengemudi Malaysia melalui beberapa cabaran ekonomi, termasuklah krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997.

Artikel berkaitan: “Saya sedih tidak terhingga” –  Tun M Luah Rasa Sedih Pemergian Tun Daim

Artikel berkaitan: [TERKINI] Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin Meninggal Dunia Pagi Ini

Latar belakang Tun Daim Zainuddin

Allahyarham merupakan anak jati Kedah, beliau dilahirkan pada 29 April 1938 dan merupakan anak bongsu daripada 13 beradik. Bapa Allahyarham bekerja sebagai kerani kerajaan, manakala ibunya seorang suri rumah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah dan Institut St Xavier, Pulau Pinang.

Kerjaya beliau juga bermula sebagai guru sementara di KSAH pada 1957.

Tun Daim 1731476856

Pada tahun 1959, Allahyarham mendapat Ijazah Undang-undang (Lulus Peperiksaan Peguam) dari Lincoln’s Inn, seterusnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar dari University of California, Berkeley pada tahun 1979.

Beliau kemudiannya memasuki perkhidmatan guaman kerajaan dan berkhidmat sebagai Majistret di Johor.

Allahyarham juga pernah bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Perak sebelum berkhidmat di firma guaman terkemuka Allen & Gledhill.

Beliau kemudiannya menubuhkan firma guamannya, Daim, Gamani. & Co.

Ceburi bidang perniagaan

Allahyarham juga adalah seorang ahli perniagaan terkenal dan disegani, sebelum menceburi politik telah mempunyai banyak syarikat dan perniagaan termasuk di luar negara.

Antara 1979 dan 1984, beliau adalah Pengerusi Peremba Bhd, unit Perbadanan Pembangunan Bandar, yang antara sebuah syarikat mempelopori pembabitan aktif Bumiputera dalam syarikat awam tersenarai.

Beliau turut terbabit sebagai pemaju hartanah di Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri, selain memiliki jumlah saham yang besar dalam United Malayan Banking Corporation (UMBC) serta Malaysian-French Bank ketika itu.

Beliau juga menjadi pengerusi Fleet Holdings Sdn Bhd, sebuah kumpulan media utama, dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3).

Tun Daim dalam arena politik Malaysia

Pada tahun 1980, Allahyarham Tun Daim dipilih sebagai Senator kemudian beliau menyandang jawatan sebagai bendahari UMNO yang ketika itu mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Ketika itu, beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat mewakili Parlimen Kuala Muda di negeri kelahirannya, Kedah.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1985 selain bertindak sebagai Bendahari UMNO.

1 6

Tun Daim pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan dua kali dengan yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.

Tahun 2018 menjadi titik bersejarah apabila Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan, ketika itu, Tun Daim mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan.

Awal hari ini, peguam Daim, Datuk Gurdial Singh Nijar mengesahkan anak guamnya itu meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, Al-Fatihah…

Sumber: NST, Berita Harian (1)(2)

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.