Tidak semua orang mempunyai rezeki untuk melaksanakan rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadah haji. Sama ada berpeluang dalam masa yang singkat atau perlu menunggu dalam tempoh yang lebih lama lagi.
Seorang warga emas berusia 90 tahun meluahkan rasa syukur apabila berjaya menjejakkan kaki di Tanah Suci untuk menunaikan haji sekali gus menjadi jemaah tertua dari Malaysia tahun ini.
Menurut Zakaria Hamat yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, ia adalah hasil usahanya yang menabung sejak berumur 15 tahun.
Artikel berkaitan: “Kerja dari zaman berniaga booth” – Hafiz Mahamad Hadiahkan Tiket Haji Untuk Pekerja
Artikel berkaitan: Al-Hassan Abdullah: Kisah Lelaki Ghana Yang Dapat Ke Mekah Lepas Ada Dron Jatuh Di Kawasan Rumah
Zakaria ditemani cucunya, Mohd Shafiq Mohd Sekari, 37 nekad untuk menunaikan haji tahun ini selepas dua tahun berturut-turut terpaksa menolak tawaran iaitu pada 2022 dan 2023 disebabkan masalah kewangan serta keadaan keluarga yang tidak mengizinkan.
“Namun doanya dimakbulkan apabila dipanggil sekali lagi tahun ini. Ahli keluarga termasuk cucu banyak membantu terutama dari segi kewangan hingga akhirnya saya juga dapat sampai ke sini,” katanya.
Kerja kuat sejak muda
Zakaria telah bekerja sebagai pesawah sejak remaja dan sentiasa aktif ketika di kampung yang menjadi antara amalan terbaiknya untuk kekal sihat.
“Kalau di rumah, datuk akan membuat kerja-kerja seperti menebas rumput, buang daun pisang kering walaupun di bawah cuaca panas. Dia memang tak boleh duduk diam dan masih berkebun pada usia ini,” kata cucunya.
Zakaria turut memberitahu dia membuat tabungan hasil kerja keras membanting padi ketika muda, termasuk merantau hingga ke Kedah demi memastikan dapat menunaikan haji.
Walaupun usia mencecah hampir 10 dekad, Zakaria bersyukur tahap kesihatannya masih baik dan tidak menghidap sebarang penyakit.
Alhamdulillah, semoga jemaah mendapat haji mabrur…
Sumber: Harian Metro