Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor membuat laporan polis terhadap pempengaruh dan adik lelakinya ekoran dengan maklumat palsu tentang kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong pada Isnin lalu.
Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari berkata, laporan tersebut telah dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas mendapat nasihat daripada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Artikel berkaitan : Kehilangan Pempengaruh Rupanya Hanya Rekaan, Polis Dedah Adik Mangsa Turut Bersubahat
Artikel berkaitan : Bulan Kesedaran Jerawat: Pakar Kulit Jelaskan Punca Jerawat Tak Hilang Walaupun Dah Guna Banyak Produk
Katanya, laporan tersebut dibuat kerana pihak JBPM anggap tindakan membuat laporan palsu tersebut tidak wajar kerana telah menyebabkan pembaziran sumber dan masa.
“Ia juga membabitkan risiko keselamatan pasukan penyelamat serta mengganggu tugas-tugas kecemasan lain. Tindakan ini turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat dan pihak berkuasa jika tidak dibendung.”
“Laporan dibuat pada jam 11.30 pagi semalam di IPD Muar. Pegawai penyiasat juga sudah pun mengambil keterangan saya selepas laporan dibuat. Laporan ini dibuat agar orang awam mengambil iktibar, jangan buat perkara yang tidak berfaedah seperti ini. Saya tegaskan ia adalah tindakan yang tidak wajar kerana kami bimbang boleh mengganggu insiden kecemasan lain.”
Jelasnya lagi, sepanjang operasi pencarian itu berlangsung selama 4 hari, 30 orang pegawai dan anggota bommba dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi untuk mencari mangsa sebaik menerima laporan.
Tambanya, pasukan Penyelamat di Air daripada Balai Bomba dan Penyelamat Muar juga telah digerakkan semasa operasi mencari lelaki tersebut.
“Kami mendapat tahu berita sebenar pada pagi Sabtu selepas dihubungi Ketua Polis Daerah Muar (Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz), memaklumkan lelaki itu selamat.”
“Dalam situasi ini, kami bersyukur dia sudah selamat cuma perlu ada rasa kebertanggungjawaban.”
“Dia membuat tindakan yang tidak relevan seperti ini pada keluarga terdekat, orang awam serta pasukan penyelamat dan pihak berkuasa, jadi dia perlu lakukan sesuatu untuk memulihkan situasi ini.”
“Pasukan keselamatan sudah berhari-hari berkampung di lokasi untuk mencari dan menyelamatkannya. Kita berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mencari orang hilang namun perkara berlaku sebaliknya.”
Pada Sabtu lalu, Raiz Mukhliz mendedahkan yang pemuda berusia 38 tahun didapati sengaja mereka-reka cerita berhubung kehilangannya di sungai terbabit.
Ianya terbongkar apabila ada keraguan dalam laporan yang dikemukakan pada hari kejadian dan mendedahkan yang pempengaruh itu melarikan diri ke negara jiran sebelum kembali ke tanah air Jumaat lalu.
Sumber : Harian Metro