Sekarang ni, filem-filem yang diterbitkan memang seronok untuk ditonton. Tapi, kebanyakan movie berasal dari karya fiksyen yang terhasil daripada daya kreativiti.
Walaupun begitu, terdapat juga filem yang berdasarkan kisah benar tau! Yang paling penting, Malaysia pun ada juga! Jadi, min nak cerita pada korang lapan filem Malaysia yang diinspirasikan daripada kisah benar.
1. Ola Bola
Filem yang diarahkan Chiu Keng Guan ni merupakan sebuah filem bola sepak Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2016. Ia adalah berdasarkan kisah benar tentang kegemilangan pasukan kebangsaan Malaysia yang berjaya memasuki Sukan Olimpik Musim Panas, 1980.
Dalam filem ni juga, ia menunjukkan semangat kesukanan dalam kalangan ahli pasukan berbilang bangsa yang pastinya dapat memupuk semangat patriotik di Malaysia.
2. Pulang
Karya hasil usaha pengarah terkenal, Kabir Bhatia ini juga diilhamkan dari peristiwa benar yang berlaku pada tahun 1940-an. Ia menceritakan tentang Othman, seorang kelasi yang dilakonkan Remy Ishak telah berlayar ke serata dunia untuk mencari kekayaan buat keluarganya yang pada ketika itu Tanah Melayu sedang dijajah oleh tentera Jepun.
Kalau korang tonton filem ni, make sure sediakan tisu sebab mesti menitis air mata bila tengok kesetiaan isteri dan anak lelaki Othman yang menunggu kepulangannya selama 61 tahun. Menariknya, filem ni juga pecah panggung pada tahun 2018 sewaktu ia ditayangkan.
Artikel berkaitan: Cayalah! Ini 5 Movie Lokal Yang Pernah Mewakili Malaysia Ke Anugerah Oscar
3. MALBATT: Misi Bakara
Siapa yang tak tengok movie ni memang rugi habis. Sebabnya, ia merupakan kisah benar kekuatan pasukan tentera Malaysia yang tak disiarkan dalam filem Black Hawk Down dari Amerika Syarikat.
Filem arahan Adrian Teh ni mengisahkan tentang 19 Rejimen Askar Melayu DiRaja yang menyertai operasi ketenteraan bagi menyelamatkan askar Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu di Somalia pada tahun 1993.
Movie yang memungut kutipan lebih RM34 juta ini menampilkan barisan pelakon aksi popular seperti Zahiril Adzim dan Hairul Azreen yang pastinya akan buat korang kagum malah terharu dengan jasa dan pengorbanan pasukan ini.
4. PASKAL
Satu lagi filem aksi dan ketenteraan daripada Adrian Teh, PASKAL menceritakan tentang misi pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Khas Laut dalam merampas semula sebuah kapal dagang, Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
Disebabkan jalan cerita yang menyentuh hati, ia meraih kutipan sehingga lebih RM 30 juta sepanjang tempoh tayangan di pawagam.
5. Lee Chong Wei: Rise of the Legend
Filem kali ni pula merupakan filem drama sukan biopik yang mengisahkan kehidupan pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang bangkit dari kemiskinan untuk memperoleh gelaran pemain badminton terbaik dunia.
Pada masa yang sama, ia menampilkan watak Misbun Sidek lakonan Datuk Rosyam Nor yang mengambil tugas sebagai jurulatih Lee dalam filem ni. Bagi peminat sukan badminton, min cadangkan korang untuk tengok filem ni yang mampu naikkan semangat korang untuk buat lebih baik.
Artikel berkaitan: Ini 7 Filem Terbaik Malaysia Yang Wajib Korang Tonton
6. Dukun
Korang jangan terkejut sebab Umie Aida pun power bawa watak bomoh yang psiko habis! Dukun merupakan filem seram arahan Dain Iskandar Said yang diterbitkan pada tahun 2018. Ia diinspirasikan daripada kisah benar di mana terjadinya satu kes pembunuhan tergempar ahli politik yang dilakukan oleh penyanyi Malaysia, Mona Fandey pada era 80-an.
Kalau korang nak tahu, pada Disember 2006, filem ni telah diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem kerana jalan ceritanya yang kontroversi dan mengguris perasaan ahli keluarga yang terlibat. Akan tetapi, perbadanan itu telah mengizinkan filem ini ditayangkan di pawagam pada tahun 2018.
7. Redha
Redha merupakan filem bergenre drama yang diarahkan oleh Tunku Mona Riza pada tahun 2016. Ia menceritakan tentang kepayahan pasangan suami isteri dalam membesarkan anak yang mempunyai penyakit autisme.
Menariknya, filem ini pernah dipilih sebagai wakil Malaysia ke Anugerah Akademi kali ke-89. Walau bagaimanapun, ia tidak dicalonkan dalam anugerah itu. Akan tetapi, korang memang patut layan movie ni sebab ia merupakan filem tempatan yang lain daripada lain.
8. Gemencheh Boys
Terbaru, Gemencheh Boys sedang ditayangkan di seluruh pawagam sekarang ini. Filem arahan Eric Ong dan Jason Chong ini diambil dari cerita sebenar di mana seorang cikgu berjaya mengubah kehidupan enam anak muridnya dalam sukan kriket Malaysia.
Kalau nak tahu, murid-murid ni digelar ‘enam jahanam’ kerana selalu timbulkan masalah. Walaupun begitu, Cikgu Azman yang dilakonkan oleh Pekin Ibrahim mampu beri harapan dan keyakinan pada dorang sehingga berjaya mencipta nama di persada dunia.