Pelbagai cara ibu bapa dalam memastikan anak-anaknya mendapatkan pendidikan terbaik. Ada yang mengorbankan masa, tenaga, malah berjauhan dengan anak demi masa depan yang lebih cerah.
Baru-baru ini, satu perkongsian video di TikTok telah menarik perhatian ramai apabila memaparkan kehidupan kanak-kanak dari Pulau Tioman yang tinggal di asrama seawal usia tujuh tahun.
Menurut seorang wanita yang dikenali sebagai Sha, itulah lumrah kehidupan sebenar anak-anak yang berasal dari pulau demi menuntut ilmu.
Ujarnya, selain sekolah yang terhad, jarak perjalanan yang jauh menaiki bot juga merupakan antara faktor menyebabkan kanak-kanak ini perlu tinggal di asrama seawal darjah satu.
Artikel berkaitan: Sanggup Berulang-alik, Ramai Pelajar Rentas Sungai Golok Tak Setuju Saranan Tinggal Di Asrama
Dalam video yang dikongsikan, keluarga kanak-kanak itu membuat kejutan dengan melawatnya pada minggu pertama persekolahan.
“Kehidupan anak pulau, duduk asrama seawal tujuh tahun. Setiap malam angah menangis rindukan adik. Tapi angah pun pernah lalui semua tu. Seawal tujuh tahun dah kena berdikari sendiri.
“Tak ada mak ayah yang sanggup berjauhan dengan anaknya. Tapi demi menuntut ilmu, inilah caranya,” tulisnya di kapsyen video.
@amiechadaenia kehidupan anak pulau , duduk asrama seawal tujuh tahun , setiap malam angah menangis rindukan adek , tapi angah pun pernah lalui semua tuu .. seawal tujuh tahun dah kena berdikari sendiri .. tak ada mak ayah yang sanggup berjauhan dengan anaknya , tapi demi menuntut ilmu , inilah caranya 💗 #anakpulau #fyp
Cabaran utama anak pulau
Difahamkan, sekolah yang menempatkan pelajar ini terletak di Kampung Tekek, Pulau Tioman. Bagi mereka yang tinggal di Kampung Paya, satu-satunya cara untuk ke sekolah adalah dengan menaiki bot.
Namun, cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu sering menjadi cabaran utama seperti laut bergelora atau hujan lebat yang menjadikan perjalanan ke sekolah menjadi sukar dan boleh mendatangkan risiko keselamatan sekali gus menyukarkan pelajar untuk hadir ke sekolah secara konsisten.
Menurut Sha, perkara ini sudah menjadi kebiasaan buat adik-beradiknya dan dia juga pernah memasuki asrama seawal tujuh tahun hingga tingkatan lima.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang baru tahu cabaran yang dihadapi anak pulau dan turut memuji ketabahan para pelajar ini.
Dalam pada itu, netizen juga mendoakan agar anak kecil ini terus kuat dan berjaya dalam pelajaran, serta dipermudahkan segala urusan buat keluarganya.