Selepas kecoh beberapa tahun lepas kes kematian Zulfarhan yang dipercayai didera, baru-baru ini muncul pula berita melibatkan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meninggal dunia dipercayai akibat terjun dari tingkat 3 bangunan di sebuah kem tentera dekat Batu Pahat.
Menurut Harian Metro, kejadian yang berlaku pada 29 Ogos lalu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Rungai berkata, pada 6 September lepas, polis dimaklumkan yang mangsa meninggal dunia di Wad ICU hospital berkenaan pada 2.30 petang.
Urusan bedah siasat dijalankan hari ini bagi memastikan punca kematian mangsa, katanya lagi.
Keluarga dakwa mangsa didera?
Walau bagaimanapun, viral di media sosial sekarang mengenai tuduhan keluarga mangsa yang mengatakan mangsa sebenarnya telah didera.
“Siasatan juga bagi mendapatkan kesahihan dakwaan anggota keluarga yang memaklumkan mangsa berkemungkinan dibuli dan didera ketika di dalam kem sebelum kejadian,” kata Muhammad Izzudin.
Menurut sebuah posting yang viral di Facebook, rakan anggota tentera itu mendakwa mangsa tidak hadir bertugas selama 6 bulan dan diarah melapor diri di kem pada 28 Ogos lalu.
Namun sehari selepas lapor diri, kira-kira jam 3 pagi, mangsa dimasukkan ke HSNI dalam keadaan koma dan cedera parah akibat jatuh dari tingkat 3 bangunan pada jam 12 tengah malam.
Lebih menyedihkan, pada 6 September lepas, ahli keluarga anggota tentera itu memaklumkan yang arwah sudah pergi meninggalkan mereka.
“Kami sebagai sahabat beliau dan keluarga, mengharapkan pihak berkuasa menyiasat kes ini dengan seadil-adilnya tanpa kompromi dengan mana-mana pihak,” kata rakannya.
Al Fatihah… Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.