Berita lanjut mengenai insiden yang berlaku pada petang semalam, seorang kanak-kanak dipukul menggunakan tukul besi oleh suspek yang juga merupakan bapa saudara kepada mangsa.
Muhammad Badrul Remli, 30, yang merupakan bapa mangsa mendedahkan beliau telah mengambil anaknya, Muhammad Ammar serta anak suspek yang berusia 8 tahun lebih kurang 12.30 tengah hari semalam.
Kemudian bapa mangsa meninggalkan kedua-duanya di rumah suspek yang juga merupakan abang ipar di kediaman berkenaan di Pasar Jelawat sebelum bergerak ke Kota Bharu untuk urusan kerja.
“Saya jarang tinggalkan anak di rumah suspek, cuma semalam saya tanya anak, dia minta nak duduk di rumah suspek sebab nak bermain dengan sepupunya,”– katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian hari ini.
Artikel Berkaitan: Suspek Mangsa Kanak-Kanak Dip*kul Ditemui M*ti, Bapa Kanak-Kanak Rayu Doa Untuk Anak
Pada kira-kira jam 4.30 petang, Muhammad Badrul menerima panggilan telefon daripada kakaknya mengatakan Muhammad Ammar mengalami cedera parah akibat dipukul oleh suaminya menggunakan tukul besi.
Setelah mendengar tentang berita itu, beliau bergegas ke rumah kakaknya dan mendapati anaknya, Ammar dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di sebuah bilik kecil dipercayai stor.
“Abang ipar saya tidak pernah bertindak agresif, tidak pernah pukul isteri atau anak, malah baik dengan kanak-kanak termasuk anak saya,”– katanya.
Menurut Sinar Harian, suspek disahkan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah serta mengalami halusinasi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman memaklumkan, suspek berusia 46 tahun itu ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi sekitar jam 8.30 malam hari sama.
“Suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi,”– katanya dalam satu kenyataan
Menurut beliau, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga isteri suspek utama telah ditahan pada Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam insiden kira-kira jam 5.15 petang semalam, murid Tahun Satu berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.
Selepas kejadian, suspek berusia 46 tahun itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok rhu di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipukul.
Sumber: Berita Harian , Sinar Harian