in

Baba Nyonya Kini Diiktiraf Sebagai Etnik Dalam Sijil Lahir, Ini Asal Usul Mereka Yang Ramai Tak Tahu

Untitled design 54

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Etnik Baba Nyonya yang dahulunya cuma dikenali sebagai salah satu warisan budaya lama, kini  secara rasminya boleh diletakkan etniknya dalam sijil kelahiran mereka. Proses ini jelas menjadi satu langkah besar buat komuniti Peranakan Cina di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Baba dan Nyonya Malaysia, Ronald Gan berkata perkembangan terbaru ini merupakan satu kejayaan besar bagi komuniti Baba Nyonya setelah beliau memperjuangkannya sejak menjadi pengerusi persatuan lebih 10 tahun lalu, petik The Star.


“Mulai sekarang kami akan dikenali sebagai Baba Nyonya, iaitu subetnik dalam kalangan masyarakat Cina tempatan,” katanya.

Tapi korang tahu tak sebenarnya dari mana asal usul mereka? Jom baca artikel bawah ni untuk kenali komuniti ni dengan lebih mendalam.

Latar belakang 

baba nyonya

Keturunan komuniti ini mula terbentuk sejak awal kurun ke-19 lagi. Seperti yang kita tahu, Melaka terdahulunya merupakan sebuah tempat perdagangan dan tempat pertukaran barang perniagaan yang dibawa masuk daripada pelbagai negara luar termasuklah negara China.

Ramai pedagang Cina menjalankan urusan perniagaan di Melaka dan akhirnya memilih untuk tinggal secara tetap di negeri itu bagi memudahkan urusan perdagangan mereka. Perkara ini secara tidak langsung telah membawa kepada berlakunya perkahwinan campur antara orang Cina dan Melayu pada waktu itu.

Pada mulanya, keturunan Baba Nyonya memang hanya terdapat di Melaka sahaja. Namun, komuniti ini kemudian berkembang ke Singapura dan Pulau Pinang disebabkan ramai dalam kalangan mereka berhijrah ke luar Melaka.

Pada waktu itu, komuniti Baba turut dikenali sebagai ‘Straits Chinese’, iaitu Orang Cina Negeri-Negeri Selat. Namun begitu, bukan semua orang Cina di Negeri-Negeri Selat boleh digelar sebagai Baba kerana gelaran tersebut hanya merujuk kepada mereka yang berasal daripada keturunan Baba Nyonya serta telah menetap lama dan menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

Komuniti ini menggelarkan diri mereka sebagai ‘Baba’ dan ‘Nyonya’. Lelaki dipanggil Baba, manakala wanita akan dipanggil Nyonya. Istilah ini melambangkan percampuran budaya dua bangsa iaitu Cina dan Melayu yang akhirnya terbentuk menjadi satu identiti tersendiri.

Perkara ini secara tidak langsung membentuk kepada pakaian tradisional masyarakat ini. Pakaian tradisional wanita Nyonya sering diperlihatkan dengan baju kebaya sulam halus dan corak flora, di samping dipadankan dengan sarung batik yang menyerupai busana wanita Melayu.

Hal ini menjadi bukti jelas bahawa komuniti ini telah sekian lama berasimilasi dengan budaya Melayu, sehingga unsur-unsur tersebut turut terpancar dalam cara pemakaian dan gaya hidup mereka.

Artikel Berkaitan: 5 Warisan Budaya Malaysia Ini Diiktiraf UNESCO, Bukti Keindahan Kepelbagaian Kita – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Cerminkan kekuatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum” – Budaya Sarapan Malaysia Diiktiraf UNESCO – Lobak Merah

Mempunyai bahasa tersendiri

Sebenarnya, komuniti ini sangat fasih dalam bertutur bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Walaupun mereka merupakan suku kaum Cina, komuniti ini jarang bercakap dalam bahasa Cina dalam kehidupan seharian mereka.

Keunikan komuniti Baba dan Nyonya dapat dilihat melalui dialek pertuturan mereka yang tersendiri. Mereka bertutur dalam bahasa Melayu dengan pengaruh kuat dialek Hokkien, yang dikenali sebagai Bahasa Melayu Baba. Dialek ini merupakan hasil campuran antara bahasa Melayu, Hokkien, dan sedikit kosa kata Inggeris, menjadikannya satu bentuk bahasa yang unik dalam kalangan mereka.

Struktur ayat serta sebutan dalam bahasa juga berbeza daripada Bahasa Melayu standard. Contohnya, kata ganti seperti ‘saya’ digantikan dengan ‘goa‘, manakala ‘awak’ digantikan dengan ‘lu‘. Hal ini menunjukkan pengaruh mendalam bahasa Hokkien dalam pertuturan mereka, memandangkan majoriti masyarakat Baba dan Nyonya berasal daripada suku kaum Hokkien..

Agama dan kepercayaan Baba Nyonya 

Meskipun mereka ini sering disifatkan sebagai kaum yang sudah lama asimilasi dengan budaya Melayu, namun agama asal mereka sebenarnya adalah Buddha. Walau bagaimana pun, sekarang ramai sebenarnya komuniti asal Baba Nyonya ini sudah menganuti agama Kristian.

Penukaran agama dalam keluarga Baba Nyonya juga tidak menjadi masalah walaupun ahli keluarga mempunyai agama yang berlainan. Anak-anak Baba Nyonya bebas untuk membuat keputusan sendiri iaitu sama ada mahu menukar agama atau tetap dengan agama asal tanpa paksaan keluarga dan kebiasaannya perkara ini berlaku apabila masyarakat Baba Nyonya ingin berkahwin dengan kaum lain.

Perayaan masyarakat ini juga tidak jauh berbeza dengan masyarakat Cina yang lain kerana mereka turut menyambut Tahun Baru Cina. Sebelum tibanya perayaan tersebut, mereka akan membersihkan rumah sebagai simbol penyucian diri dan permulaan baharu.

Pada pagi Tahun Baru Cina, masyarakat Baba dan Nyonya akan menunaikan sembahyang bagi memohon kesejahteraan hidup sepanjang tahun yang mendatang. Selepas tu barulah mereka akan membakar mercun sebagai tanda kemeriahan dan untuk menghidupkan suasana perayaan.

Perkahwinan cara Baba Nyonya 

baba kahwin

Perkahwinan Baba Nyonya Melaka tradisional adalah salah satu warisan pusaka yang sangat unik. Majlis perkahwinan mereka dikatakan berlangsung selama dua belas hari.

Proses perkahwinan bermula dengan pihak pengantin lelaki membawa rombongan merisik kepada pihak pengantin perempuan dan seterusnya membincangkan tarikh untuk majlis perkahwinan di samping membuat jemputan yang dipanggil sebagai ‘anteh sireh’ iaitu jemputan melalui wang yang mengandungi kacang, limau dan sirih.

Selain itu, mereka juga mempunyai hari ‘Khuih Thiah’ iaitu hari kupas bawang untuk membuat 20 jenis sambal di mana pada hari kedua belas upacara perkahwinan nanti barulah mereka akan makan sambal tersebut bersama nasi lemak.

Makanan tradisional Baba Nyonya 

ayam pongteh wob

Dari segi makanan, masyarakat Baba Nyonya terkenal dengan masakan pedas dan sedikit manis. Terdapat pelbagai menu makanan tradisional mereka seperti ayam pongteh, itek tim dan inchi kabin.

Ayam pongteh adalah hidangan tradisional mereka yang paling popular. Ayam pongteh adalah hidangan ayam yang dimasak menggunakan kacang soya, lalu direbus bersama kentang, kicap dan gula Melaka.

Selain itu, Baba Nyonya juga terkenal dengan kuih-muih tradisionalnya seperti pulut tekan,

pulut inti dan kuih angku merah. Pulut tekan dibuat daripada tepung beras dan bunga telang iaitu bunga yang berwarna biru. Pulut tekan sering dimakan bersama dengan kaya, manakala pulut inti menggunakan tepung berat pulut yang diletakkan inti kelapa di atasnya.

Inti kelapa bagi pulut inti pula diperbuat daripada campuran gula melaka dan kemudiannya dibungkus menggunakan daun pisang di samping membentukkan ia menjadi satu piramid kecil.

kuih angku wob

Bagi kuih angku pula, kuih ini dikatakan mempunyai bentuk merupai kura-kura sebagai simbol ketabahan, panjang umur dan tuah dalam kepercayaan mereka. Ia menggunakan warna merah sebagai simbol kebahagiaan dan kegembiraan, namun kini hadir dalam pelbagai warna seperti hijau, kuning, ungu dan hitam.

Warna-warna kuih ini biasanya diperoleh daripada bahan semula jadi seperti ubi keledek, daun pandan dan bunga telang, di samping diperbuat daripada tepung pulut dan kentang dengan inti seperti kacang merah, kacang hijau atau labu.

Tekstur kuih ini dikatakan sangat lembu dan rasa manis seakan kuih koci. Bentuknya juga dicetak menggunakan acuan khas dan dikukus hingga masak. Kuih ini juga masih menjadi antara kuih yang digemari masyarakat hari ini.

Secara kesimpulannya, proses penyesuaian antara budaya Cina dahulu dengan orang Melayu yang akhirnya melahirkan etnik Baba Nyonya ini jelas membuktikan proses asimilasi dan amalgamasi telah berlaku pada masyarakat terdahulu lagi. Secara tidak langsung ia melahirkan sebuah masyarakat baharu yang mampu hidup secara harmoni dan aman di Melaka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat ini memiliki banyak keunikan tersendiri hasil gabungan pengaruh budaya Cina dan Melayu. Meskipun warisan ini kini kelihatan semakin berkurangan, keturunan mereka masih wujud di negara kita, khususnya di negeri Melaka.

Dengan pengiktirafan rasmi etnik Baba dan Nyonya dalam sijil kelahiran, diharapkan identiti dan budaya masyarakat ini akan terus berkembang sebagai simbol bahawa Malaysia telah lama menjadi negara berbilang bangsa sejak zaman dahulu lagi.

Sumber: Melaka Cool

Sumber: Raja Cuti
Sumber: WOB
Sumber: WOB

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.