Misteri masa depan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan akan meneruskan kariernya secara profesional tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.
Memetik laporan Astro Awani, atlet berusia 37 tahun itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi memberi laluan kepada tumpuan dana dan pembangunan atlet lain.
Saya masih mahu bersaing secara kompetitif, tetapi bergerak secara profesional. Saya minta agar peruntukan diberikan sepenuhnya kepada pelumba muda demi kesinambungan sukan negara.”
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan mewakili negara dalam temasya utama seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel sekiranya khidmatnya masih diperlukan.
Azizul juga menyatakan beliau mahu menebus kekecewaan di Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai motivasi untuk meneruskan kayuhan selama dua tahun lagi.
Pengakhiran di Paris tidak seperti yang saya harapkan. Saya mahu tamatkan karier dengan cara yang lebih manis.”
Azizul kini merancang untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia 2025 dan akan menjalani lebih banyak latihan di Malaysia.
Dalam temasya Olimpik Paris 2024 lalu, penyertaan The Pocket Rocketman dalam acara keirin dibatalkan selepas kesilapan teknikal, selain tersingkir awal dalam acara pecut.