Baru-baru ini, hebahan mengenai pertandingan mencipta poster menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menerima kritikan ramai dan ada yang menganggap ianya memalukan.
Manakan tidak, pertandingan tersebut dilihat seakan-akan menghina bakat artis seni lukis yang ada di Malaysia dan dianjurkan pula oleh sebuah badan yang sepatutnya memartabatkan karya yang dihasilkan oleh penggiat seni tempatan.
Menurut laporan Malaysiakini, ada yang berpendapat langkah Kraftangan Malaysia ini seolah menghina semua pereka grafik yang ada, lebih-lebih lagi nilai hadiah yang ditawarkan hanya RM50 untuk 30 pemenang.
Pertandingan mencipta poster berasaskan teknologi AI tersebut merupakan salah satu acara yang diadakan oleh Kraftangan Malaysia sempena Hari Kraf Kebangsaan 2024 yang bermula dari 25 hingga 29 Februari nanti.
Selain itu, apa yang lebih menaikkan darah orang ramai ialah antara syarat yang dikenakan oleh Kraftangan Malaysia ialah peserta dikehendaki memuat naik poster AI masing-masing di laman media sosial dan pemenang bakal dinilai berdasarkan kreativiti, bilangan likes dan share yang diraih oleh poster mereka di media sosial.
Namun, kartunis legenda Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon mempunyai pandangan yang berbeza kerana menurutnya, semua pihak sepatutnya tidak perlu takut terhadap teknologi moden seperti AI tersebut.
Tambahnya lagi, AI secara tak langsung menjadi pemudah cara dalam proses menyelesaikan sesuatu tugas atau kerja.
Artikel berkaitan : “Tengok explanation Tun Laila” – Lepas ‘What Country Is This’, Ada ‘Trend’ Komen Baru Di TikTok?
Artikel berkaitan : Google Bakal Keluarkan ‘Genesis’, Guna Teknologi AI Untuk Hasilkan Berita
Menurutnya lagi, Kraftangan Malaysia berhak untuk menganjurkan sebarang jenis pertandingan yang dirasakan sesuai oleh mereka.
Ujang dalam pada itu turut bersetuju dengan penggunaan teknologi AI dalam penghasilan karya seni termasuklah animasi dan lukisan dan mengakui bahawa teknologi tidak boleh dihalang, sebaliknya kita perlu bersedia untuk menerima sebarang perubahan dan meraikan arus teknologi yang semakin membangun.
Pun begitu, Ujang tidak menafikan bahawa masih wujud kegusaran dan salah faham dalam kalangan sesetengah pihak mengenai penggunaan teknologi AI dalam bidang seni.
Tambahnya, dia sendiri pernah berdepan dengan konflik pertembungan antara kaedah tradisional dan teknologi moden ketika menjadi kartunis suatu masa dahulu. Ujarnya lagi, dia juga belajar teknologi baru seperti lukisan digital dan AI bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran teknologi baharu ini.
Sumber : Malaysiakini