Seorang kerabat diraja Pahang iaitu Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman diheret ke Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau, Jun lalu.
Tertuduh yang juga merupakan anak saudara kepada Sultan Pahang itu didakwa bersama 4 lagi individu lain iaitu Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Taufiq Daud, 32, Khairul Azhar Rosli, 38, dan seorang anggota polis, Mohd Fouzi Md Nur, 44.
Artikel berkaitan : “Saya tidak akan melindungi” – Tengku Hassanal Mahu Polis Siasat Kes Kerabat Pahang Langgar Undang-undang
Artikel berkaitan : Tengku Mahkota Pahang Titah Keadilan Diberi Kepada Mangsa Pukul Oleh Kerabat
Walau bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Mengikut fakta pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di kawasan lot bangsal kuda, di Jalan Teluk Sisek di sini, pada jam 12:20 tengah malam, 6 Jun lalu. Mereka didakwa dengan sengaja mencederakan paha kanan mangsa iaitu Alias Awang, 44, dengan pisau.
Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan sebatan serta denda.
Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwa Pahang, Shahrizat Ismail. Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
View this post on Instagram
Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes. Kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 setiap seorang serta syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.
Sebelum ini, dilaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan, mendakwa diserang sekumpulan individu termasuk seorang kerabat Diraja Pahang. Akibat serangan itu, mangsa mendakwa cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Susulan kejadian itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan polis menjalankan siasatan segera, telus dan adil berhubung dakwaan membabitkan kerabat itu.
Baginda mahu polis menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak termasuk membabitkan kerabat Pahang agar keadilan dapat ditegakkan.
Sumber: Buletin TV3