Bergelar seorang ibu dan isteri tidaklah semudah disangka apabila terpaksa menempuh pelbagai cabaran dalam menguruskan rumah tangga tanpa rungutan dan lelah. Lebih-lebih lagi, apabila seorang isteri tersebut hilang orang yang tersayang seperti anak-anak mahupun suami.
Seperti apa yang berlaku baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan seorang wanita yang seakan hilang arah dalam kehidupannya dan didatangi oleh para media untuk berkongsi kisah hidupnya yang mungkin buat para pembaca berair mata.
Ibu alami kemurungan selepas berpisah dengan suami
Bila sebut tentang perpisahan ini, sudah tentu kita pernah merasai betapa sakitnya untuk menerima kenyataan kerana perkara yang kita luangkan bersama orang tersayang tidak akan sama lagi seperti awalnya.
Itulah mungkin yang dirasai oleh seorang wanita di Kota Bharu, Kelantan apabila dia mengalami masalah kemurungan selepas sahaja berpisah dengan suaminya.
Menurut Harian Metro, wanita tersebut bertindak hidup seperti gelandangan apabila dilihat menjadikan sebuah kawasan tanah lapang di sebelah kawasan perumahan itu sebagai tempat berteduh.
Dia juga dipercayai membawa sekali dua buah besen mengandungi pakaian dan barangan peribadi berkenaan ke kawasan tersebut dan hanya duduk memerhatikan orang ramai lalu lalang.
Anaknya, Umie Syafiyah Mohd Noor juga sesekali datang untuk menjenguknya dan memastikan keadaan diri ibunya dalam keadaan sihat dan selamat. Menurut anaknya, mungkin perpisahan ibunya dengan ayah menjadi faktor utama punca wanita tersebut mengalami kemurungan.
“Ibu sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah namun berhenti kerana masalah kesihatan dan dia juga masih ada keluarga di Pasir Mas.”
“Keluarga ibu pernah membawanya tinggal bersama, tapi ibu enggan sebelum memaksa agar menghantarnya semula ke Kota Bharu dan ibu hidup tanpa ada rumah dan merata-rata.”
Umie juga mengatakan bahawa dia pernah tinggal di rumah abang angkatnya tapi hanya pada waktu malam sahaja. Beberapa bulan lalu ini juga, ibunya sering berteduh di kawasan Sekolah Kebangsaan Islah dan akan membersihkan diri di masjid berhampiran dan tidur di bus stop sekolah itu.
Berjalan hampir 1km nak jumpa ibu
Menurut Umie, ibunya pernah dibawa untuk berubat tetapi masih tidak menunjukkan perubahan yang baik dan kini keluarganya sudah buntu untuk mencari jalan penyelesaian dan membiarkannya seperti itu.
Kini, Umie menetap bersama bapanya yang kini sakit di Padang Bongor di sini, dan akan berjalan kaki hampir satu kilometer datang menjenguk ibunya setiap hari.
“Ibu bergantung kepada ubat, tapi sudah lama berhenti. Keadaannya masih terkawal cuma adakalanya garang namun dia masih kenal saya.”
“Jika sehari tidak datang berjumpanya, dia akan bertanya kerana sudah menjadi rutin harian saya sejak dahulu untuk menjenguknya.”
Dia juga meluahkan rasa kerisauan terhadap ibunya lebih-lebih lagi apabila menjelang malam dan berharap ada pihak yang tampil membantu dengan membawanya ke mana-mana tempat perlindungan.
Semoga ada pihak yang bertanggunjawab membantu..min pula rasa kesian.
Baca: Anak Terpaksa Tipu Ibu Strok, Kata Ayah Yang Dah Meninggal Dunia 5 Hari Pergi ‘Berehat’