Hari ini merupakan hari yang mendukacitakan buat rakyat Malaysia, dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas dan mengakibatkan 10 nyawa terkorban.
Salah seorang mangsa nahas tragedi itu iaitu Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun seakan mengetahui dia akan pergi menghadap Illahi dan memberikan ‘tanda-tanda’ buat keluarganya.
Artikel berkaitan: “Al-Fatihah..” – Suami Sepupu Eyra Hazali Salah Seorang Mangsa Kemalangan Helikopter
Artikel berkaitan: Tragedi Helikopter TLDM: Sahabat Muat Naik Gambar Bersama, Tak Sangka Ramadan Kali Terakhir Berjumpa
Menurut laporan Harian Metro, Noryani Tamadun yang merupakan kakak kepada mangsa berkata kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul pada Aidilfitri pertama lalu, sebelum arwah pulang ke Sabah pada pagi raya kedua.
“Apabila adik cakap takut tak sempat makan, hati saya terdetik kenapa dia cakap macam ini? Selain itu pada pagi Aidilfitri, dia ajak kami tiga beradik bergambar, walaupun seorang lagi adik perempuan yang bekerja sebagai polis di Pahang belum sampai.
Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut ‘seorang hilang’, nanti kakak balik (adik kerja polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita.
Saya rasa pelik kenapa dia cakap ‘seorang hilang’, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa terakhir sudah ini, hari ini semuanya terjawab,” katanya.
Kakaknya itu bagaimanapun reda dengan pemergian adik lelaki bongsunya itu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada Januari dan Ogos tahun lalu.
Noryani juga berkongsi, Allahyarham sangat bersemangat untuk mengadakan latihan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak kerana dapat berjumpa isterinya Nor Syuhada yang bertugas sebagai guru di Seri Iskandar.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, Kedah. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan 6 tahun.
Sumber: Harian Metro