Bila dah kembali laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni, sudah pastinya polis akan kembali bertugas di lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang ditetapkan. Kalau nak lepas SJR, korang mestilah ada surat kebenaran dari polis atau MITI.
Namun dek kerana marah ditahan polis, seorang wanita telah memuat naik kata-kata kesat di laman Facebook berunsur ugutan hingga menyebabkan dia ditahan polis semalam.
Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, wanita yang bernama Diana Mat ini telah menujukan kata-kata tersebut kepada petugas SJR di Putrajaya.
Antara yang ditulis wanita itu di akaun media sosialnya termasuklah ‘aku pusing balik aku rempuh korang’ dan ‘ kau dengan penjenayah sama je’.
https://twitter.com/redzuanNewsMPB/status/1390439722468536324
Siasatan awal mendapati sebelum laporan polis dibuat telah tular beberapa tangkap layar (screenshot) di media sosial hantaran pengguna Facebook tersebut dengan menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis,” katannya.
‘Diana Mat’ kemudian telah berjaya ditahan polis sekitar jam 9.00 malam semalam. Pihak polis juga telah merampas telefon bimbit milik wanita tersebut dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut di Facebooknya.
“Suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan,” katanya lagi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar).
Polis juga menasihatkan pengguna media sosial lain untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang mahupun jabatan.
Berhati-hatilah ye ketika meluahkan perasaan korang di Facebook. Jangan sampai keterlaluan.