Di dalam Al-Quran ada menyebut tentang hukuman qisas di mana Allah menetapkan seseorang penjenayah perlu menerima hukuman sama seperti apa yang dia lakukan ke atas mangsanya seperti yang tertulis dalam surah Al-Maidah, ayat 45:
Kami telah menetapkan bagi mereka di dalamnya (Taurat) bahwa nyawa (dibalas) dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisas-nya (balasan yang sama).
Barangsiapa melepaskan (hak qisas)nya, maka itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim.”
Namun begitu, Islam turut menuntut agar hamba-hambanya untuk memberikan belas kasihan dan mempunyai sifat pemaaf.
Jadi pada artikel kali ini, kita akan ceritakan tentang Ameneh Behrami yang telah menjadi buta selepas mukanya disimbah asid gara-gara menolak pinangan seorang lelaki. Ketika dibicarakan, wanita ini meminta agar dia dapat memberikan hukuman yang sama kepada pelakunya…
Ameneh Bahrami jadi mangsa gara-gara tolak cinta
Ameneh Bahrami merupakan seorang wanita muda dengan cita-cita yang besar. Ketika dia diserang, wanita ini sedang belajar eletronik dan bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan perubatan. Hanya setahun sebelum dia boleh tamatkan pengajiannya.
Penyerangnya, Majid Movahedi telah bertemu Ameneh di satu bengkel yang diadakan di universiti. Lelaki yang berusia lima tahun lebih muda dan pernah menjadi rakan sekelas Ameneh ini terpikat dengan kecantikannya.
Ameneh kemudiannya mendapat panggilan telefon dari ibu Majid yang mengatakan bahawa anak lelakinya itu mahu berkahwin dengannya. Namun wanita ini menolak pinangan tersebut dengan mengatakan yang nama lelaki itu pun dia tak kenal.
Jelasnya, tolakan dari Ameneh ini telah membuatkan Majid marah dan menelefon untuk mengugutnya dengan berkata:
Sama ada kau kahwin dengan aku atau aku hancurkan hidup kau.”
Ekoran ini, Ameneh telah membuat laporan polis atas gangguan tersebut namun pihak polis tidak mengambil serius dengan aduan yang dibuatnya.
Satu hari, pada Oktober 2004, Ameneh yang sedang berjalan pulang ke rumah dari tempat kerjanya telah didatangi oleh lelaki yang ditolak pinangannya itu. Lelaki yang sama ini turut mengganggu dan mengugutnya beberapa kali sebelum ini, jadi bila berdepan, wanita ini tak tahu apa yang lelaki tersebut akan lakukan.
Ditangannya ada satu bekas berwarna merah, dia tengok mata saya dan baling asid ke muka saya.”
Tindakan Majid ini telah menyebabkan Ameneh yang baru berusia 26 tahun ini buta dan mukanya cacat.
Tak cukup dengan itu, Majid tidak terus melarikan diri selepas serangan tersebut, dia kekal berdiri di situ apabila orang ramai mula mengelilingi Ameneh dan melihat penderitaan wanita malang ini yang sedang menjerit kesakitan.
Orang-orang di jalanan yang melihat dia menjerit kesakitan tak tahu bagaimana untuk membantunya, malah apabila dia tiba di hospital, orang-orang di sana pun tak tahu nak buat apa. Dia kemudiannya di bawa ke hospital kedua dan selepas lima jam barulah seorang pakar mata tiba untuk melihat kecederaan yang menimpanya.
Mata dibalas dengan mata
Selepas serangan tersebut, Majid telah serahkan dirinya kepada pihak polis. Ketika perbicaraan, lelaki ini tak teragak-agak untuk mengaku kesalahannya malah sempat bermegah-megah dengan kelakuannya itu.
Ekoran ini, hakim mahkamah memutuskan untuk memberikan hukuman mati ke atas Majid namun Ameneh enggan.
Ameneh mahukan qisas, dia mahu pelakunya itu turut hilang penglihatan, mata dibalas dengan mata.
Lakukan hukuman ke atasnya seperti apa yang dia lakukan ke atas saya.”
Di Iran, wanita tak mempunyai kuasa yang sama seperti lelaki. Seperti contoh, testimoni seorang wanita dilihat kurang dari testimoni lelaki. Disebabkan di dalam qisas ada menyebut “mata dibalas dengan mata”, hakim telah membenarkan hukuman butakan satu mata Majid dibuat walaupun Ameneh telah kehilangan kedua-dua matanya ekoran serangan itu.
Namun begitu, selepas banyak rayuan dibuat tanpa lelah, Ameneh telah dibenarkan untuk membuat pembalasan penuh. Pada November 2008, mahkamah di Tehran mengarahkan Majid untuk dibutakan kedua-dua matanya.
Hukuman ini telah mendapat liputan yang meluas, ramai yang mengecam hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah dan aktivis hak asasi manusia melabelkan hukuman tersebut sebagai kejam.
Di dalam kanun keseksaan Islam di Iran, mangsa atau walinya dibenarkan untuk jalankan sendiri hukuman ke atas tahanan bagi kes pembalasan. Seperti hukum gantung sampai mati, wakil mangsa yang terdiri daripada keluarganya boleh memilih untuk tolak sendiri kerusi yang sedang menahan tertuduh.
Dalam kes Ameneh, dia atau keluarganya dibenarkan untuk menyuntik asid ke mata Majid. Kekecohan yang berlaku di media telah menyebabkan hukuman ini sering ditangguhkan.
Namun, pada Julai 2011, Ameneh dan keluarganya telah pergi ke hospital badan kehakiman di mana Majid akan ditidurkan sebelum asid disuntik di dalam matanya.
Ketika mereka menyediakan dia di atas katil hospital, mulut lelaki itu tak berhenti-henti menyumpah saya. Tak ada satu pun tindakannya yang menunjukkan dia menyesal membuat perkara tersebut ke atas saya.”
Kerana tidak mampu untuk melihat, Ameneh telah meminta adik lelakinya untuk melakukan hukuman tersebut bagi pihaknya.
Tapi ketika pihak berkuasa membuat pengiraan sebelum jarum tersebut disuntik ke mata Majid, di minit-minit terakhir Ameneh membuat keputusan untuk memaafkan lelaki tersebut.
Saya tak boleh nak buat. Saya tahu kalau saya lakukan hukuman tersebut, ia akan menghantui saya sepanjang hayat. Saya tahu saya akan jadi lebih menderita jika saya lakukannya.
“Majid terkejut dengan keputusan saya sehingga dia jatuh ke kaki saya, saya meminta untuk dia pergi dan jangan pernah sebut nama saya lagi selepas ini.”
Walaupun telah dimaafkan, Ameneh meminta agar pelakunya itu untuk kekal di penjara sehingga keluarganya dibayar dengan wang pampasan yang diperlukan untuk rawatannya.
Kerajaan telah membantu Ameneh untuk pergi ke Barcelona bagi mendapatkan pembedahan namun tak cukup.
Di Spain, pada satu masa saya terpaksa tinggal di tempat gelandangan kerana saya tak ada duit.”
Keputusan Ameneh untuk memaafkan Majid telah disambut dengan baik oleh rakyat Iran dan beberapa bulan selepas itu, arca wanita ini telah dipamerkan di sebuah pamerah di Tehran.
Malangnya, Majid telah dibebaskan dari penjara pada tahun 2014 selepas mendapat pengampunan dari pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei walaupun Ameneh tidak menerima wang pampasan.
Manakala serangan asid di Iran makin bertambah setiap tahun sehinggakan pihak berkuasa di sana percaya bahawa hukuman qisas ini adalah cara yang paling baik untuk digunakan dalam kes seperti ini.
Pada Mac 2011, seorang lelaki Iran telah membutakan mata seorang lagi lelaki yang telah menyerangnya dengan asid sehingga membutakan sebelah matanya. Ini merupakan kali pertama Iran menjalankan hukuman tersebut sebelum pelaku ditidurkan sementara pakar perubatan mengorek mata kirinya.
Sumber: The Guardian
Baca: “Saya curah asid dan ceraikan dia..” – Realiti Sedih Yang Berlaku Kepada Kaum Isteri di Pakistan