Sejak akhir-akhir ini agak hangat juga kes poligami diperkatakan, lebih-lebih lagi selepas tular video mengenai ‘Abang Tesla’ yang berkahwin satu lagi atas izin isteri pertamanya.
Tapi kalau korang nak tahu, sebenarnya kebanyakan negara mengharamkam poligami seperti di Amerika Syarikat. Pun begitu, ada beberapa keluarga yang senyap-senyap berpoligami supaya tidak ditangkap.
Namun ada juga yang terang-terangan tunjuk kehidupan berpoligami mereka sehinggakan ada yang buat rancangan realiti TV tentang kehidupan keluarga berpoligami ni.
Mungkin ada antara korang yang tak tahu, poligami ni terbahagi kepada dua, bila lelaki berkahwin dengan lebih dari seorang isteri, ia dipanggil sebagai poligani manakala sebaliknya, jika seorang wanita mempunyai lebih dari seorang suami, ia dipanggil sebagai poliandri.
Poligani adalah satu bentuk poligami yang lebih terkenal manakala poliandri pula hanya diamalkan oleh masyarakat Tibetan, Toda, Sherpa dan Marquesan.
Dalam artikel kali ini, kita akan lihat antara keluarga poligami terbesar di dunia berdasarkan ahli keluarga yang dihasilkan secara keseluruhan. Orang Malaysia pun ada masuk dalam senarai ni tau!
9. Ahli perniagaan Afrika Selatan
Milton Mbele mempunyai empat orang isteri dan lapan orang anak. Ketika hari perkahwinannya, dia telah berkahwin serentak dengan empat orang wanita. Empat wanita ini telah memakai gaun kahwin berwarna putih dan menyebut “kami bersetuju” berbanding “saya setuju” yang kita sering dengar.
Walaupun keempat-empat isterinya ini merasakan ianya pelik apabila Milton mahu berkahwin dengan mereka, namun kerana sayang dan tahu peribadi lelaki ini yang baik dan mengambil berat, mereka telah menerima permintaannya.
Milton mendakwa bahawa dia sayang dan hormati kesemua isterinya sama rata dan bagi menunjukkan komitmennya, lelaki ini telah memakai empat cincin di jari-jarinya. Keempat-empat isteri Milton telah diberikan rumah berasingan di mana lelaki ini akan melawat mereka sekali seminggu dan mengambil masa tiga hari untuk dirinya sendiri. Lelaki ini memiliki sebanyak 100 lembu dan 250 ekor kambing serta mempunyai pekerjaan yang baik. Kalau diikutkan, Milton dikategorikan sebagai orang yang agak kaya di tempatnya.
8. Keluarga Brown
Keluarga Brown ini telah menjadi terkenal apabila mereka membintangi rancangan realiti TV mereka sendiri berjudul Sister Wives yang ditayangkan di TLC pada tahun 2010.
Rancangan ini mengikuti kehidupan keluarga berpoligami yang tinggil di Utah di mana si suami mempunyai empat isteri dan 17 anak. Kodi dan isteri-isterinya turut memberitahu yang mereka bersetuju untuk membuat rancangan TV ini bagi melawan prejudis masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang keluarga berpoligami.
7. Jacob Zuma
Jacob Zuma yang merupakan bekas Presiden Afrika Selatan telah berkahwin sebanyak enam kali namun kini hanya bersama empat isteri dan mempunyai seramai 20 orang anak. Dia telah menceraikan satu isterinya dan seorang lagi meninggal dunia kerana membunuh diri.
Wanita terakhir dikahwininya adalah pada tahun 2012 iaitu Bongi Ngema. Sebelum berkahwin dengan Bongi, Jacob telah mengubahsuai rumahnya dan membuat empat unit berlainan untuk setiap isterinya.
6. Keluarga Darger
Joe, Vicky, Valerie dan Alina Darger merupakan aktivis dekriminalisasi poligami yang tinggal di Utah bersama 24 anak-anak mereka. Keluarga ini merupakan inspirasi kepada siri TV HBO, Big Love dan turut muncul dalam rancangan Sister Wives.
Mereka menggambarkan diri mereka sebagai Mormon fundamentalis bebas. Apabila skandal tentang pemimpin FLDS Warren Jeffs, pendakwaan dan penemuan penderaan seksual kanak-kanak bawah umur dalam mazhab Mormon telah menggemparkan orang ramai, timbul persepsi buruk mengenai komuniti poligami sehingga mereka mengeluarkan buku Love Times Three: Our True Story of a Polygamous Marriage bagi membentuk semula pandangan orang tentang keluarga berpoligami.
5. Keluarga Williams
Brady Williams dan lima orang isterinya telah kongsikan kehidupan peribadi mereka selepas membintangi rancangan realiti TV berjudul My Five Wives.
Keluarga ini merasakan keputusan mereka untuk mendedahkan diri mereka kepada umum merupakan satu perkara yang melegakan kerana mereka dah tak perlu lagi bersembunyi. Keluarga ini mempunyai seramai 24 orang anak.
4. Abuya Ashaari Muhammad
Ashaari Muhammad atau dikenali sebagai Abuya merupakan pengasas pertubuhan al-Arqam yang ditubuhkan pada tahun 1968. Pertubuhan ini mempunyai seramai 10,000 pengikut.
Abuya telah berkahwin sebanyak lima kali dan pernah mempunyai empat orang isteri pada waktu yang sama. Dia mempunyai seramai 38 anak dan 203 cucu.
Selepas pertubuhan al-Arqam ini diharamkan oleh kerajaan, Abuya telah melarikan diri ke Thailand sebelum dia dibawa pulang ke Malaysia dan ditahan di bawah akta ISA.
Akhirnya, pada 25 Oktober 2004 Abuya telah dibebaskan setelah 10 tahun ditahan dibawah ISA dan tahanan rumah. Pada tanggal 13 Mei 2010, bekas pemimpin Al-Arqam ini telah meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center kerana jangkitan paru-paru dan jenazahnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau untuk dikebumikan.
3. Joe S. Jessop
Joe S. Jessop merupakan ahli Fundamentalist Church of Jesus Christ of Latter Day Saints (FLDS) yang mempunyai seramai lima orang isteri, 46 anak dan 239 cucu. FLDS merupakan komuniti yang “menurut perintah untuk berkahwin ramai bagi membina kerajaan tuhan”.
2. Verlan LeBaron dan Irene Spencer
Irene Spencer telah berkahwin dengan Verlan Le Baron iaitu suami kakaknya. Verlan mempunyai seramai 10 orang isteri dan 58 orang anak. Keluarga ini telah menghabiskan kehidupan mereka dengan melarikan diri dari abang Verlan yang mahu membunuh mereka.
Mereka melarikan diri sepanjang Mexico dan sering berpindah randah. Irene yang tak suka hidup dalam keluarga berpoligami namun tak berani untuk meninggalkan keluarganya ini kerana sejak dari kecil dia telah diajar yang dia akan masuk neraka sekiranya dia tidak berkorban untuk keluarganya.
Setelah sedar yang kehidupannya itu juga merupakan satu neraka, Irene telah cuba mengumpul kekuatan dan melarikan diri dari keluarga tersebut. Wanita ini kemudiannya telah berkahwin dengan seorang suami dan mempunyai seramai 118 cucu dan 37 cicit.
1. Ziona Chana
Ziona Chana yang tinggal di India ini mempunyai seramai 39 isteri, 94 anak, 14 menantu dan 33 cucu. Lelaki ini mempunyai rumah paling besar di kampungnya di mana ia mempunyai sebanyak 100 bilik.
Pada tahun 1942, Ziona Chana telah menubuhkan ajaran Kristian yang membenarkan ahlinya untuk berkahwin dengan seramai isteri yang mereka mahukan.
Kalau korang nak tahu keluarga ini memerlukan sekurang-kurangnya 30 ekor ayam untuk makan malam. Ziona bagaimanapun dikatakan bahagia kerana keluarganya ini sangat mengambil berat dan sentiasa melayan satu sama lain dengan rasa hormat dan kasih sayang.
Macam manalah dia nak melayan isteri sampai dekat 40 orang tu ya?
Sumber: The Richest
Baca: “Kalau nak bagi aku anak meh sini, jangan pandai sembang” – Abang Tesla Respon Sebab Berpoligami?