Kalau sebut saja nama Margaret Thatcher atau Queen Elizabeth, pasti semua orang kenal siapa wanita hebat ini dalam sejarah dunia. Tapi kenalkah korang akan wanita luar biasa dari dunia Islam pulak? Haa kalau Khadijah Binti Khuwaylid ataupun Rabiatul Adawiyah tu mungkin ramai yang kenal. Tapi pernah dengar nama macam Sayyida al-Hurra atau Shajar al-Durr tak?
Bersempena Hari Wanita Sedunia hari ini, kami ingin senaraikan tujuh wanita luar biasa dalam sejarah Islam yang belum korang kenali. Muslimah zaman dulu hebat-hebat belaka tau!
1. Nusaybah Binti Ka’ab
Nusaybah binti Ka’ab atau dikenali sebagai Ummu Umara adalah antara penganut Islam wanita terawal di Madinah. Beliau yang juga sahabat Nabi Muhammad SAW bersama suaminya, Zaid bin Asim memiliki sifat terpuji dan sering membantu Rasulullah berdakwah di sekitar Madinah.
Namun jasanya yang paling diingati ialah ketika perjuangannya dalam Perang Uhud (625 M) yang mana Nusaybah menggunakan senjata pedang dan perisai dalam menentang tentera Mekah. Nusaybah telah melindungi Nabi Muhammad SAW daripada serangan musuh ketika dalam pertempuran serta menanggung pelbagai kecederaan akibat ditombak dan dipanah kerana menggunakan tubuhnya sebagai penghadang bagi Rasulullah. Ya Allah besarnya jasa Nusaybah!
Namun diceritakan suaminya, Zaid bin Asim terkorban dalam pertempuran tersebut manakala Nusaybah pula pengsan setelah mengalami kecederaan yang ke-12. Pun begitu, selepas sedar pengsan, perkara pertama yang terpacul daripada mulutnya ialah ‘Adakah Nabi masih hidup?’.
2. Khawla Al Azwar
Muslimah ini juga antara yang hebat dan terkenal dalam perjuangannya semasa Perang Yarmuk (636 M) dalam menentang Kerajaan Byzantine.
Gayanya yang misteri dengan memakai topeng dan menungggang kuda dengan penuh keberanian telah menimbulkan tanda tanya kepada tentera lain termasuklah panglima Islam yang hebat iaitu Khalid Al-Walid yang kagum melihat cara wanita ini menentang musuh.
Meskipun tidak ramai yang mengetahui latar belakang Khawla dan ada juga ragu-ragu akan kewujudan muslimah hebat ini, catatan sarjana seperti Al-Waqidi dan Al-Azdi pernah menulis akan wanita hebat ini sekitar abad kelapan dan kesembilan Masihi. Adik perempuan kepada Dirar bin Al-Azwar ini dikatakan telah didik dengan bermain pedang dan merawat mereka yang cedera daripada perang sejak kecil lagi.
3. Arwa Al-Sulayhi
Kisah Ratu Balqis yang memerintah Kerajaan Saba’ mungkin ramai yang pernah dengar. Tapi korang tahu tak tentang Arwa Al-Sulayhi, ratu yang memerintah negeri Yaman? Menurut sejarawan, beliau adalah seorang wanita yang bijak dalam ilmu agama, Al-Quran dan Hadis.
Meskipun yatim sejak dari kecil, beliau seorang yang cerdas dan cepat menerima ilmu serta memiliki pengetahuan yang luas dalam puisi, cerita dan kisah sejarah. Dia juga dikatakan sebagai sebagai seorang wanita yang cantik dan telah dibawa ke Istana Sana’a dibawah didikan bondanya, Ratu Asma Shihaab As-Sulayhiyya.
Setelah bernikah dengan sepupunya sendiri, dia menjadi Ratu Arwa selepas suaminya memberi seluruh kekuasaan kepada Arwa kerana dia tidak mampu memimpin akibat sakit lumpuh. Dengan menggunakan kebijaksaannnya, Arwa membangun masjid, jalan dan sumber air untuk kesejahteraan negara.
Pun begitu, figura hebat ni meninggal dunia pada 1138 dan menjadi contoh terunggul seorang ratu yang berdikari dalam sejarah Islam.
4. Fatima Abi Al Qasim
Wanita yang seterusnya ni ialah seorang ilmuan Islam di Andalus sekitar abad ke-12 dan awal abad ke-13. Dikenali sebagai Umm al-Fath, Fatima Abi Qasim ini terkenal dengan karya-karyanya dari segi teori perundangan, hukum dan juga tasawuf serta memang bijak serba-serbi dalam ilmu Islam.
Beliau yang juga ibu kepada Professor Abu Al-Qasim bin Al-Taylasan yang terkemuka ini dikatakan telah menghafal banyak jenis buku di bawah bimbingan bapanya dan kebanyakannya dihafal ayat demi ayat. Wah hebat! Fatima juga tidak ketinggalan dalam menghafaz al-Quran dan telah mempelajari Kitab Sahih Muslim serta Sirah Rasulullah daripada penulis Islam yang hebat pada zaman tersebut.
5. Razia Sultan
Pernah tonton drama bersiri Razia Sultan petang-petang tu? Kisah yang ditayangkan di televisyen tu bukannya kisah dongeng semata, namun Razia Sultan ini sebenarnya memang benar-benar wujud dalam sejarah negara India. Beliau yang merupakan pemerintah bagi Kesultanan Delhi di antara 1236-1240.
Ayahanda Razia telah menetapkan puterinya untuk menjadi pewaris sebelum kematiannya lagi yang menjadikan wanita hebat ini sebagai pemerintah kesultanan tersebut yang rasmi. Menurut catatan sejarah, Razia merupakan sultan yang adil dan telah menjadi penaung utama dalam bidang pelajaran dengan mendirikan sekolah dan perpustakaan di seluruh India utara.
Walau bagaimanapun, Razia telah dimurkai ramai kerana mengenakan pakaian diraja seperti ayahnya dan tidak mengenakan hijab. Pada tahun 1240, dia telah digulingkan dan dibunuh dalam pemberontakan diraja yang anti kepimpinan wanita. Tragis!
6. Shajar al-Durr
Isteri kepada Sultan al-Salih Ayyub ni telah memainkan peranan penting dalam politik Mesir selepas kemangkatan pemerintah yang hebat itu. Berasal dari Turki, Shajar al-Durr memulakan hidupnya sebagai hamba di Istana Ayyubi, namun dengan cemerlangnya telah menjadi pemerintah atau Sultanah pada tahun 1250 yang dikatakan menjadi permulaan kepada Kesultanan Mamluk di Mesir.
Beliau telah memainkan peranan penting mempertahankan Mesir utara dalam menghadapi Perang Salib Ketujuh dan Pertempuran Fariskur (1250 M) serta mengambil Raja Loius IX dari Perancis sebagai tahanan. Sebagai penghargaan kepada jasanya, nama beliau telah ditatahkan pada syiling dengan gelaran “Malikat al-Muslimin”.
Selepas beberapa ketika, Shajar telah menerima pelbagai tekanan yang menyebabkan dia terpaksa berkahwin dengan panglima ‘Izz al-Din Aybak yang seterusnya menjadi sultan pertama kerajaan Mamluk. Pun begitu pada 1257, Shajar telah terlibat dalam konspirasi membunuh suaminya selepas dia mendapati sultan tersebut terlibat dalam hubungan sulit dan dia telah diusir serta dibunuh dengan kejam yang seterusnya menamatkan pemerintahan beliau.
7. Sayyida Al-Hurra
Sayyida Al-Hurra yang bermaksud ‘Wanita Bebas’ ni adalah antara tokoh Islam yang paling menarik pada abad ke-16. Berasal dari Kerajaan Nasri di Granada, beliau terpaksa melarikan diri dari kerajaannya selepas ia ditakluk Kristian Sepanyol pada 1492.
Seperti kebanyakan muslim lain di Andalusia, Sayyida tinggal di Maghribi bersama suaminya dan memerintah Kota Tetouan di pantai utara. Namun selepas kematian suaminya pada 1515, dia telah menjadi pemerintah tunggal di bandar tersebut yang seterusnya berkembang dari segi kekuatan dan jumlah penduduk Islam.
Disebabkan ingin membalas dendam atas kemusnahan Andalus dan pemaksaan agama Kristian terhadap muslim di sana, Sayyida telah melakukan aktiviti lanun dan mengubah Tetouan sebagai pangkalan utama operasi menentang Sepanyol dan Portugal. Dia bersekutu dengan laksamana Uthmaniyyah dan menghentam imperialis Sepanyol di Afrika Utara dan Mediterranean Barat.
Walaupun tak ada banyak cerita mengenai Sayyida, dia dikatakan telah berkahwin semula dengan Sultan Maghribi Wattasi dan kisah mengenainya ada ditulis dalam karya berbahasa Sepanyol.
Menarikkan kisah wanita-wanita ini? Ambillah tauladan darinya dan jadikan inspirasi untuk kehidupan anda di masa hadapan!
Baca: Kenali Kisah 5 Puteri Lagenda Dahulukala Yang Ramai Orang Tak Tahu