in

4 Tokoh Wanita Islam Yang Keluar Berjihad Walaupun Sudah Berkeluarga

tokoh wanita islam keluar berjihad walaupun berkeluarga

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Dalam sejarah Islam, terdapat wanita hebat yang tetap keluar berjihad walapun sudah berkeluarga. Mereka tampil dengan keberanian dan pengorbanan luar biasa demi mempertahankan agama, maruah dan umat.

Seperti baru-baru ini, ada sedikit perdebatan di media sosial mengenai hukum wanita menyertai misi flotilla Gaza yang mana sebahagian mereka adalah wanita yang sudah pun berkeluarga.


Menurut Pejabat Mufti WP, dijelaskan bahawa hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negara pada asasnya adalah tidak wajib.

Bagaimanapun, katanya, pada zaman kini terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita contohnya dalam membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan.

“Oleh yang demikian, sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek yang lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji.

“Hal ini dengan berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Susulan itu, hukum penyertaan wanita dalam misi flotila adalah harus dan tidak salah untuk terlibat.

“Lebih-lebih lagi dalam situasi rakyat Palestin yang cukup terdesak dalam mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran,” kata Pejabat Mufti WP.

567ca5c1587a07e43ad118c7e5b814f8

Artikel berkaitan: Fahami Perjuangan Global Sumud Flotilla, Berlayar Demi Harapan Rakyat Palestin

Jadi, mari kita menelusuri kisah ringkas tokoh-tokoh wanita Islam yang keluar berjihad walaupun sudah berkeluarga.

1. Nusaybah binti Ka’ab

Nusaybah bukan hanya seorang pejuang tetapi juga figura penting dalam misi-misi keselamatan dan risikan Islam ketika zaman Rasulullah SAW.

Nusaybah juga dikenali sebagai Ummu Imarah yang berketurunan Bani Najjar, sebuah suku di Madinah. Beliau bernikah dengan Zaid bin Ashim dan memiliki dua anak, Abdullah dan Habib, namun suaminya gugur ketika Perang Badar.

Setelah itu, Nusaybah menikah dengan Ghaziyah bin Amr dan dikurniakan dua anak, Tamim dan Khawlah. Walaupun sibuk mengurus keluarga, Nusaibah tetap ikut serta dalam peperangan.

Beliau dikenali wanita yang berani syahid mempertahankan Rasulullah SAW ketika peristiwa Perang Uhud.

Pada ketika itu, umat Islam hampir menang namun sebahagian mereka telah terleka dan rasa teruja dengan ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak, lalu menyebabkan mereka lalai daripada arahan Rasulullah SAW agar mereka kekal di posisi masing-masing. Orang musyrikin yang sudah pun berundur telah kembali semula dan menyerang umat Islam.

Disaat ramai yang bertempiaran lari menyelamatkan diri, Nusaybah terjun ke dalam medan perang dengan memakai baju perisai untuk melindungi Rasulullah SAW sehingga banyak kesan luka dibadannya sehingga menyebabkannya pengsan.

Sewaktu Rasulullah SAW melihat Nusaibah cedera, beliau bersabda, “Wahai Abdullah (anak lelaki Nusaybah), balutlah luka ibumu! Ya Allah, jadikanlah Nusaibah dan anaknya sebagai sahabatku di dalam syurga.”

Apabila dengar sahaja doanya itu, Nusaybah langsung tidak menghiraukan semula lukanya dan meneruskan berperang melindungi Rasulullah SAW dan membela agama Allah.

Artikel berkaitan: 7 Wanita Luar Biasa Dalam Sejarah Islam

2. Ummu Haram binti Milhan

Beliau merupakan isteri kepada Ubadah bin Samit, juga ibu saudara kepada sahabat Nabi Muhammad SAW, Anas bin Malik. Ummu Haram seorang wanita yang menyertai misi ke Pulau Cyprus di tengah-tengah Laut Mediterranean.

Ummu Haram ada memberikan cadangan kepada Khalifah Umar untuk melancarkan ekspedisi jihad ke Pulau Cyprus tetapi ditolak atas alasan umat Islam masih tidak biasa dengan pertempuran di lautan. Kemudian, ia diusulkan kembali kepada Khalifah Uthman dan cadangan tersebut diterima.

Seterusnya, mereka berlayar dengan beberapa buah kapal dari pelabuhan ‘Aka, Syam menuju ke Cyprus bersama suaminya selain beberapa orang sahabat yang lain.

Namun, Ummu Haram telah terjatuh dari untanya ketika keluar dari kapalnya ke daratan, lalu wafat di sana. Ummu Haram telah disemadikan di Hala Sultan Tekke atau dikenali sebagai Masjid Ummu Haram.

528192046 53fcea5076 b

3. Safiah binti Abdul Mutalib

Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib adalah seorang yang sangat digeruni oleh pahlawan kerana beliau adalah wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata, berperang mempertahankan agama Allah SWT dan hebat di medan tempur.

Beliau juga terkenal sebagai seorang yang tekun dalam ibadahnya, pahlawan yang melahirkan pahlawan besar kepada kaum Muslimin yang pertama menganggotai angkatan berkuda kaum Muslimin.

Beliau merupakan ibu kepada Saidina Zubair bin Awwam iaitu ibu saudara kepada Rasulullah SAW.

Apabila Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah SWT sebagai nabi membawa agama, hidayah dan kebenaran, Safiah binti Abdul Mutalib antara orang terawal yang beriman dan membenarkan kenabian Baginda SAW.

Beliau pernah bersama Baginda SAW di medan Uhud dengan angkatan Muslimin serta sekumpulan wanita lain yang berjihad melakukan tugasan masing-masing. Safiah ditugaskan menyediakan air, membalut luka serta membaiki panah yang patah.

Namun, apabila beliau melihat peperangan mula berkecamuk dan orang semakin jauh dari Rasulullah SAW, ketika itu Safiah menarik pedang untuk berjihad membantu Rasulullah SAW.

Dikatakan beliaulah wanita Islam pertama yang menghunuskan senjata dan membunuh kaum musyrikin. Beliau juga diduga dengan ujian berat apabila turut kehilangan saudaranya, Saidina Hamzah yang syahid dengan cara yang sangat menyayat hati dalam peperangan itu.

Apabila Rasulullah SAW cuba menghalang Safiah daripada melihat jasad saudaranya, beliau tetap tegas. Dengan penuh keberanian, Safiah berkata, “Aku sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja demi Allah dan Rasul-Nya.” Ketika melihat jasad saudaranya, Safiah tetap tabah walaupun menghadapi kesedihan yang mendalam.

Begitulah keadaan Saidatina Safiah, selain hebat di medan tempur beliau juga seorang ibu yang sangat tegas serta menggalakkan anaknya, Zubair untuk terus berjihad dan berjuang di jalan Allah SWT.

4. Ummu Hakim binti Harith

Ummu Hakim dikenali sebagai seorang wanita luar biasa yang menjadi simbol kekuatan iman, keberanian, dan kasih sayang. Kisah beliau membuktikan wanita juga memainkan peranan penting dalam perjuangan agama.

Ummu Hakim lahir dalam keluarga Quraisy yang mulia. Ketika Islam menyinari Mekah, beliau menerima hidayah dengan hati terbuka walaupun suaminya, Ikrimah bin Abu Jahal, adalah penentang tegar Islam.

Setelah pembukaan Mekah, Ikrimah melarikan diri ke Yaman. Namun, dengan keberanian luar biasa, Ummu Hakim memohon jaminan Rasulullah SAW untuk suaminya dan berangkat ke Yaman, penuh risiko, demi membawa suaminya kembali.

Dengan usahanya, Ikrimah akhirnya kembali ke Mekah, memeluk Islam, dan mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah SAW.

Selepas keislaman Ikrimah, pasangan ini bersama-sama berjuang demi agama Allah. Namun, ketika Perang Yarmuk, Ikrimah gugur syahid. Dalam kesedihan itu, Ummu Hakim bangkit dan mengangkat senjata, mengalahkan tujuh tentera musuh seorang diri.

Ketabahan luar biasa Ummu Hakim menjadi inspirasi. Kehilangan suami, cabaran hidup, dan tanggungjawab tidak mematahkan semangatnya. Beliau terus menjadi sumber kekuatan umat Islam di sekelilingnya.

Daripada kisah tokoh-tokoh wanita Islam ini, mereka bukan sahaja isteri atau ibu, tetapi juga pejuang yang berani mempertahankan agama, menunjukkan bahawa peranan wanita dalam berjihad bukan sekadar dalam rumah tangga.

Sumber: Facebook, Ikhlas, Berita Harian, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Flickr

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.