Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan penularan wabak Cacar Monyet atau lebih dikenali dengan nama Monkeypox. Tiga kes cacar monyet di Belgium yang disahkan berkait dengan festival seks berskala besar yang diadakan di bandar pelabuhan Antwerp.
Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat penularan wabak yang menunjukkan pertambahan dalam kalangan komuniti gay. Selain Belgium, kes monkeypox juga dilaporkan telah menular di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara.
Sebenarnya, apakah itu Monkeypox? Kami sediakan info ringkas untuk anda mengetahui apakah wabak yang kian menular di dunia seperti dibawah.
Apakah Monkeypox?
Monkeypox adalah satu penyakit jenis cacar yang mula dikenalpasti pada tahun 1958 dalam koloni monyet. Pada tahun 1970, Monkeypox mula menjangkiti manusia. Pada tahun berikutnya, monkeypox mula merebak ke negara-negara Afrika Tengah dan Afrika Barat.
Adakah Monkeypox boleh membawa maut?
Berdasarkan kajian WHO, Monkeypox akan surut dan reda dengan sendirinya dalam tempoh dua ke empat minggu. Walau bagaimanapun, ada beberapa kes yang dikesan telah membawa maut iaitu sekitar 3% ke 6% daripada pesakit Monkeypox.
Risiko kematian akibat monkeypox adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak. Individu berusia kurang 40 tahun juga berisiko kerana tiada immune semula jadi dibentuk selepas kejayaan vaksin dalam melawan penyakit itu beberapa dekad yang lalu.
Penularan terkini dikaitkan dengan varian dari Afrika Barat, namun hanya 1% daripadanya membawa kepada kematian.
Apakah simptom Monkeypox?
Simptom Monkeypox termasuklah demam, keletihan, sakit pada otot, pening kepala dan bengkak kelenjar. Dalam tempoh hari pertama hingga ke hari ketiga selepas dijangkiti, kulit pesakit akan dinaiki ruam yang bermula pada muka sebelum merebak ke seluruh badan.
Dalam fasa pertama, ruam akan membentuk tompokan coklat cerah pada seluruh badan. Kemudian tompokan tersebut akan menimbulkan bengkak. Pada fasa ketiga, tompokan itu akan mulai timbul dan mula membentuk gelembung pada permukaan kulit seperti jerawat yang berair. Fasa terakhir, tompokan dan gelembung itu akan kecut dan menghilang.
Bagaimanakah Monkeypox boleh tersebar?
Monkeypox adalah penyakit zoonotic iaitu penyakit yang berasal dari haiwan. Kebiasaanya penyakit seperti ini merebak melalui kawasan tadahan air yang digunakan bersama oleh haiwan dan manusia.
Monkeypox juga boleh tersebar melalui kontak rapat sesama manusia dengan sentuhan, pernafasan, cecair badan dan barangan tercemar seperti cadar dan pakaian.
Pihak WHO sedang menjalankan siasatan dan kajian bagi mengenalpasti sekiranya berlaku mutasi dalam virus monkeypox ini yang boleh menjangkiti manusia selain daripada faktor diatas.
Bolehkah Monkeypox dirawat?
Setakat ini tiada rawatan yang berkesan bagi pesakit monkeypox. Namun langkah awal bagi membendung virus ini adalah melalui suntikan vaksin.
Dimanakah Monkeypox dikesan?
Lebih 100 kes monkeypox telah dikesan diseluruh dunia. Sepanyol, Portugal, dan United Kingdom sedang mencatatkan penularan kes yang kian meningkat. Majoriti kes yang dilaporkan adalah dalam kalangan lelaki berusia 30 ke 55 tahun yang melakukan hubungan seks sejenis.
Apakah yang patut dilakukan sekiranya terjangkit Monkeypox?
Sila dapatkan bantuan kesihatan di hospital berdekatan sekiranya anda dijangkiti monkeypox atau
- Mengembara ke negera Afrika Tengah atau Afrika Barat, negara-negara di Eropah yang melaporkan kes monkeypox atau kawasan yang disahkan sebelum simptom bermula
- Menjadi kontak dengan individu yang disahkan atau disyaki menghidap monkeypox
- Anda seorang lelaki yang mempunyai hubungan intim dengan lelaki-lelaki lain.
Harap wabak monkeypox ni tak sampai Malaysia lah ye.
Sumber: LiveScience.com
Baca: US Catat Kes Pertama Monkeypox, Ini 4 Perkara Mengenai Penyakit Dari ‘Keluarga’ Cacar Ini