Seorang pekerja restoran di Tokyo, Jepun baru-baru ini mendakwa mereka terpaksa membuang 25 set nasi lemak gara-gara ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan tanpa memaklumkan kepada mereka.
Insiden itu didedahkan oleh pekerja bernama Sou Tanaka menerusi satu hantaran di laman Facebook. Katanya, ejen pelancongan itu tidak menelefon semula restoran untuk membatalkan tempahan.
Disebabkan itu, restoran terbabit terpaksa membuang begitu sahaja set nasi lemak untuk 25 orang setelah menunggu lama tanpa sebarang khabar berita.
Artikel berkaitan: “Cantiknya Tawau!” – Netizen Kagum, Pokok Tecoma Berbunga Meriah Macam Pohon Sakura Di Jepun!
Bukan itu saja, pihak restoran mendakwa insiden itu juga mengakibatkan kerugian buat mereka kerana terpaksa menolak pelanggan yang hadir ketika jadual tempahan mereka semakin hampir.
Kecewa dengan apa yang berlaku, pekerja terbabit turut mendedahkan identiti pemandu pelancong dan maklumat syarikat pelancongan.
Hantaran tersebut turut meraih perhatian netizen Malaysia, rata-rata mengkritik tindakan ejen pelancongan terbabit kerana ia dilihat telah mencalar imej Malaysia di mata warga Jepun.
Ejen pelancongan tampil beritahu situasi sebenar
Susulan ramai yang mengecam tindakan pihak mereka di media sosial, ejen pelancongan terbabit tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian itu.
Jelas pihaknya, mereka menelefon restoran itu untuk melakukan survey kerana membawa trip yang disertai 90 peratus warga emas.
“Berkaitan Malay Asian Cuisine, kami menelefon mereka untuk mendapatkan info sama ada di tempat mereka boleh menampung tempat duduk sebanyak 25 orang atau tidak. Mereka menjawab ‘ya’.
“Pihak kami memaklumkan kepada mereka jika kami jadi untuk ke sana, kami akan telefon dan pihak kami ada meninggalkan nombor telefon kami. Kami memilih untuk makan tengah hari di tengah bandar Shibuya,” katanya.
Susulan itu, mereka mengambil keputusan untuk makan di tempat tidak jauh dari tempat mereka berhenti atas alasan faktor sekeliling.