Panasnya cuaca! Nak sejukkan badan, tapi tak ada pendingin hawa!
Tenang… Walaupun anda tidak mempunyai aircond, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk sejukkan badan dan kediaman anda pada musim panas ini.
Dalam artikel kali ini, kami akan berikan 10 cara sejukkan badan dengan mudah – tanpa aircond!
10 tip sejukkan badan tanpa pendingin hawa
Kalau rumah anda tidak mempunyai pendingin hawa, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk sejukkan badan dan juga kawasan rumah:
1. Minum air dengan mencukupi
Apabila badan anda rasa tidak selesa disebabkan cuaca yang panas, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah minum air.
Suhu air tidak penting. Jadi, anda bebas menikmati minuman kegemaran dalam keadaan sejuk, biasa atau suam.
Apa yang penting, pastikan anda minum air dengan mencukupi. Jika tidak, badan anda akan mengalami masalah untuk melakukan regulasi suhu. Tak minum air = badan makin panas!
2. Mandi untuk sejukkan badan
Ini merupakan antara cara paling mudah untuk sejukkan badan pada waktu panas.
Mandi air sejuk dapat menurunkan suhu badan. Jika anda ingin lebih sejuk, cuba pakai sabun yang mengandungi peppermint. Barulah segar!
3. Letakkan kain basah pada leher atau pergelangan tangan
Jika anda sukar tidur malam disebabkan bahang bilik, cuba basahkan kain dan letakkan pada leher dan pergelangan tangan.
Kedua-dua kawasan ini mempunyai salur darah yang dekat dengan kulit. Jadi, anda boleh sejukkan badan dengan lebih cepat.
4. Guna kipas angin untuk tolak udara panas ke luar
Ada satu tip untuk sejukkan bilik bagi pengguna kipas angin.
Pertama sekali, buka tingkap bilik. Kemudian, halakan kipas angin ke luar supaya udara panas dalam bilik boleh mengalir keluar dan digantikan dengan angin yang lebih sejuk.
Tetapi, jangan praktikkan tip ini jika cuaca di luar lebih panas berbanding dalam bilik. Anda boleh cuba pada waktu malam supaya bahang dalam bilik boleh dikurangkan sebelum waktu tidur.
Kalau anda tidak suka cara ini, halakan sahaja kipas angin pada wajah anda. Selesai masalah.
5. Tutup langsir pada waktu siang
Gelapkan rumah anda pada waktu siang. Tutup semua langsir agar cahaya matahari tak boleh masuk.
Anda juga boleh pasang ‘blackout curtains’ untuk sejukkan lagi kawasan dalam rumah dan kurangkan kenaikan suhu pada waktu siang.
6. Jangan masukkan stokin, cadar dalam peti ais untuk sejukkan badan
Pasti ada antara kita yang pernah nampak tip ini di media sosial kan? Sebelum tidur, masukkan dulu stokin dan cadar dalam peti ais supaya badan lebih sejuk dan mudah tidur pada waktu malam.
Tetapi, cara ini ada keburukannya. Bayangkan, anda sedang lena tidur dengan stokin dan cadar sejuk. Kawasan bilik pula panas membahang. Lama-kelamaan, cadar dan stokin tadi akan bertukar lembap.
Anda yakin ke nak tidur dengan cadar dan stokin basah? Tilam pun lebih mudah rosak kalau terdedah kepada lembapan dalam satu tempoh masa yang panjang.
7. Makan aiskrim
Apa lagi cara yang termudah untuk sejukkan badan selain makan aiskrim?
Walaupun kesannya cuma sementara, ia dapat mengubat kehausan dan menurunkan suhu badan ketika anda berada di bawah sang mentari!
Tetapi, jangan lupa, elakkan mengambil terlalu banyak gula dalam makanan. Walaupun nampak remeh, gula sebenarnya boleh meningkatkan metabolisme badan dan membuatkan badan anda rasa lebih panas.
8. Tutup pintu semua bilik yang tidak digunakan
Jika ada ruang atau bilik kosong atau tidak digunakan di rumah anda, tutup pintu bilik tersebut dan jangan buka.
Dengan langkah ini, anda boleh pastikan angin sejuk hanya berlegar di kawasan rumah yang berpenghuni sahaja.
9. Ada kipas exhaust di dapur?
Kipas ini bukannya boleh sedut asap je tau! Anda boleh buka kipas exhaust ini untuk keluarkan semua angin panas dari dalam rumah ke luar.
10. Gunakan lampu yang cekap tenaga
Kadangkala, lampu kalimantang yang merentangi bilik anda itulah punca sebenar bilik panas!
Untuk kurangkan suhu, cuba tukar lampu tersebut kepada lampu yang lebih cekap tenaga.
Cuba amalkan 10 tip daripada kami ini untuk pastikan badan dan kediaman anda kekal sejuk walaupun pada waktu panas.
Kepada yang sudah cuba tip sejukkan badan daripada kami ini, cuba komen, menjadi ke tidak?
Sumber: CNN Health
Baca: Cuaca Panas Di Sarawak, Lelaki 52 Tahun Maut Didakwa Kerana Strok Haba