Bila bercakap soal jodoh, tiada siapa tahu dan tiada siapa dapat menduga rahsia Allah SWT.
Namun, siapa sangka di tempat yang sinonim dengan kesedihan iaitu di tanah perkuburan menjadi tempat pasangan suami isteri ini berputik cinta.
Cinta berputik ketika ziarah pusara pasangan
Cara mereka bertemu jodoh boleh dikatakan agak unik apabila cinta berputik ketika menziarahi pusara pasangan masing-masing di Tanah Perkuburan Senawang, Negeri Sembilan.
Artikel berkaitan: Lepas Seminggu Berkenalan, Nenek Kepada 44 Cucu Berkahwin Semula Pada Usia 78 Tahun
Marinah Mohd Beseri, 48, kehilangan suami pada Mei tahun lalu, manakala isteri kepada Norhisham Mohd Nor, 64, meninggal dunia pada April.
Marinah berkata, sejak arwah suaminya meninggal dunia, boleh dikatakan setiap hari dia menziarahi pusara itu sebelum wujudnya komuniti dalam kalangan waris.
“Kebetulan suami baharu saya (Norhisham) juga baru kehilangan isteri dan dia juga kerap menziarahi kubur isterinya. Apabila kerap berjumpa di tanah perkuburan, beberapa waris mewujudkan kumpulan WhatsApp.
“Daripada situ saya mula kenal waris lain termasuk Norhisham. Selain kerap ziarah kubur, kami turut mengadakan gotong-royong dan tahlil bersama dan semua mulai saling mengenali dan rapat,” katanya.
Suami banyak persamaan dengan arwah suami
Marinah yang kehilangan suaminya akibat kanser pankreas akui Norisham ada banyak persamaan dengan arwah suami dan disebabkan itu dia jatuh cinta kepada lelaki itu.
“Selepas enam bulan kenal, Norhisham menyatakan hasratnya dan kami melangsungkan perkahwinan pada November tahun lalu.” katanya.
Norhisham pula berkata, dia tidak dapat menolak takdir bertemu jodoh buat kali kedua bersama Marinah.
Katanya, dia tidak sangka akan bertemu jodoh dengan seorang wanita yang baru kehilangan suami dan dikenalinya pula di tanah perkuburan.
Jelas Norhisham, dia tiada langsung niat untuk berkahwin baharu, ditambah pula masih bersedih dengan kehilangan isterinya, namun Allah membuka pintu hatinya untuk melamar Marinah bagi mengisi kekosongan hatinya.
Walaupun kini mereka merupakan pasangan suami isteri, namun sehingga ke hari ini kedua-duanya masih meneruskan rutin sama menziarahi pusara arwah pasangan masing-masing.
Min doakan semoga pasangan ini kekal bahagia hingga ke syurga.
Sumber: Berita Harian