Seorang lelaki warganegara Malaysia dilaporkan telah hilang sejak minggu lalu selepas pergi bercuti ke Bangkok, Thailand.
Menerusi satu hantaran tular di platform Xiaohongshu (XHS), Andy Jee Ying Kit, 30, yang berasal dari Kuching, Sarawak dikatakan terbang ke Bangkok pada 8 Januari lalu bersama seorang rakan dan dijadualkan ke Singapura pada 15 Januari untuk kembali bekerja.
Bagaimanapun, rakan kerjanya memaklumkan kepada pihak keluarga tentang kehilangannya selepas dia gagal hadir ke tempat kerja selama dua hari berturut-turut.
Artikel berkaitan: Remaja 14 Tahun ‘Berkepala Botak’ Hadir Upacara Keagamaan Di Cameron Highlands Dilaporkan Hilang
Tambahan pula, panggilan telefon ke nombor Jee gagal dijawab kerana talian telah terputus.
“Jee memberitahu kami dan rakan-rakan sekerjanya bahawa dia bercuti ke Thailand bersama seorang rakan. Namun, kami tidak tahu siapa rakan tersebut.”
Difahamkan, keluarga Jee telah terbang ke Singapura bagi mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia untuk menyemak sama ada Jee telah meninggalkan Bangkok atau memasuki mana-mana negara.
Jika tiada petunjuk di Singapura, mereka merancang untuk ke Bangkok bagi meneruskan usaha pencarian.
Menurut notis orang hilang, Jee digambarkan sebagai seorang lelaki bertubuh besar, berkulit gelap, dengan ketinggian 170cm.
Memetik sumber Berita Harian, kedutaan Malaysia di Bangkok sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk mencari Jee.
Sumber: Weirdkaya, Berita Harian