Seorang wanita yang dikenali sebagai Chen dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani suntikan membesarkan payudara yang didakwa dilakukan oleh pakar kecantikan tidak bertauliah di sebuah rumah di Skudai, Johor.
Menurut suami mangsa yang bernama Wong, mangsa dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada suntikan pembesaran payudara asid hyaluronik.
Wong mengatakan, pada mulanya isteri merancang untuk menjalani rawatan sulam benang di muka untuk menjadikan kulitnya lebih tegang.
Namun, pakar kecantikan itu telah memujuk mangsa untuk menjalani suntikan pembesaran payudara.
Mula rasa sakit dada
Ketika isterinya cuba membayar perkhidmatan suntikan terbabit, jurusolek itu dilaporkan enggan menerima bayaran itu.
Selepas menjalani rawatan, mangsa mengalami pening kepala, rasa perit dan sakit pada bahagian dada. Menyangka cuma kesan sampingan biasa, mangsa tidak memikirkan hal buruk mengenai rawatan itu.
Bagaimanapun, mangsa menjadi semakin tidak sihat dan dibawa oleh rakan untuk pergi ke klinik berhampiran.
“Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan. Sekitar jam 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa.
“Isteri segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Isteri dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas melaporkan bahawa dia tidak boleh berjalan dan meninggal dunia pada 7 pagi (hari sama),” katanya.
Mangsa telah dikebumikan kelmarin dan meninggalkan anak lelaki berusia sembilan dan 12 tahun.
Susulan itu, suaminya mahu membawa kes berkenaan ke muka pengadilan dan dilaporkan pihak polis bakal mengeluarkan kenyataan mengenai insiden tersebut.
Kes itu juga turut menarik perhatian Doktor Perubatan Estetik, Dr Ing Kien yang menyatakan rawatan seumpama itu adalah bahaya dan prosedur itu tidak pernah mendapat kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Sumber: Berita Harian
Baca: “Ramai wanita tak ambil berat” – Ini Dua Jenis Ketulan Pada Payudara, Tapi Bukan Kanser