in

[VIDEO] Pelajar Tuntut Selesaikan Masalah Air Di UMS, Ini Jawapan PMX

pmx lulus peruntukan masalah air ums

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ribuan pelajar yang tinggal di kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sering dibelenggu masalah kekurangan air dan isu ini sebenarnya telah lama berlaku.

Memetik laporan Awani, krisis air ini masih berlarutan meskipun pelbagai langkah telah diambil oleh pihak universiti untuk menyelesaikan masalah terbabit.


Pelajar tuntut selesaikan masalah air

Mungkin para pelajar di UMS dapat menarik nafas lega selepas ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu.

Beliau mengumumkan peruntukan itu ketika menjawab soalan seorang wakil pelajar pada sesi soal jawab Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, semalam.

Menerusi video tular yang dimuat naik di Twitter, pelajar berkenaan menyatakan masalah air di kampus itu telah menyebabkan para pelajar dan pengurusan UMS terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi projek penggerudian air bawah tanah dan air hujan yang memakan kos ratusan ribu ringgit.

Pelajar itu juga memberitahu mereka perlu menghadapi masalah air ini sedangkan di universiti lain tidak berlaku. Jadinya, pelajar tersebut meminta respon daripada Anwar mengenai tuntutan itu.

Menjawab soalan itu, Anwar meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membiayai usaha UMS menangani masalah air, termasuk menggunakan sumber air bawah tanah, tuaian air hujan dan air bukit.

“Saya lulus RM3 juta di UMS sebab saya tidak mahu anak-anak UMS dalam keadaan sukar, nak mandi susah, belajar susah.

“Dalam beberapa hari ini kita pastikan wang ini disalur. Jangan ganggu mahasiswa, jangan ganggu staf dengan masalah yang membebankan ini,” katanya.

Tambah Anwar, meskipun peruntukan itu tidak mudah untuk diberikan, namun ia diberikan atas kesedaran beliau memahami kesukaran mahasiswa yang dianggapnya seperti anak sendiri.

“Jadi bila saya minta wang bukan semudah itu. Tapi bila bercakap kesedaran, kalau anak-anak saya, anak-anak saudara nak mandi pun susah air tak cukup nak belajar,” jelasnya lagi.

Terdahulu, tular ciapan di Twitter mengenai isu air UMS yang didakwa mengganggu aktiviti seharian warga kampus itu.

Baca: “Air bukan untuk mandi je” – Netizen Bengang Baca Mesej Pensyarah Bila Student Mengadu Tak Ada Air
ft student takde air

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.