Sejak semalam, situasi di Korea Selatan menjadi perbualan ramai di media sosial. Terdapat pelbagai spekulasi berhubung keadaan politik di sana yang melibatkan kuasa tentera serta tindakan Presiden yang sangat tidak terjangka.
Apa sebenarnya yang berlaku di Korea Selatan?
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol semalam mengumumkan beliau akan menarik balik undang-undang tentera hanya beberapa jam selepas beliau mengenakannya, ia selepas kenyataannya yang mengelirukan di mana beliau mendakwa pembangkang sebagai ‘pasukan antinegara’ yang mengancam demokrasi negara itu.
Difahamkan, ini merupakan kali pertama undang-undang tentera diisytiharkan di Korea Selatan dalam masa lebih empat dekad.
Tindakan presiden negara itu secara tidak langsung, mencemaskan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu negara itu yang lain.
Undang-undang Tentera
Secara ringkas, Undang-undang Tentera atau Martial Law ialah perlaksanaan kawalan ketenteraan secara langsung terhadap fungsi awam yang normal atau penangguhan undang-undang awam oleh kerajaan, terutama sebagai tindak balas terhadap darurat sementara di mana pasukan awam dibanjiri, atau di wilayah yang didiami.
Hak asasi seperti kebebasan bersuara sudah pastinya diketepikan dengan serta-merta jika undang-undang itu dilaksanakan.
Mengapa Presiden Yoon Suk-yeol melakukan mengeluarkan perintah sedemikian?
Menurut laporan BBC, presiden ke-13 Korea Selatan itu melakukan tindakan luar biasa itu bukan kerana pengaruh dari mana-mana pihak sebaliknya untuk kepentingan politiknya sendiri.
Sejak pilihan raya umum April lalu, Presiden Suk-yeol berada dalam situasi yang genting apabila partinya, People Power Party (PPP) kalah besar dan pembangkang kini menguasai parlimen.
Sepanjang beberapa bulan beliau memegang jawatan itu, pelbagai skandal serta kepincangan berlaku, antara yang terbesar ialah kerajaannya itu tidak dapat meluluskan rang undang-undang yang mereka inginkan dan sebaliknya telah dikurangkan kepada membatalkan rang undang-undang yang diluluskan oleh pembangkang liberal.
Beliau juga dikatakan terlibat dalam beberapa skandal rasuah tahun ini, termasuk yang melibatkan isterinya, Kim Keon Hee menerima beg mewah jenama Dior, serta satu lagi berkaitan dengan manipulasi saham.
Bulan lalu, beliau terpaksa melakukan permohonan maaf di TV nasional dengan mengatakan bahawa beliau sedang menubuhkan pejabat untuk mengawasi tugas First Lady. Namun, beliau tidak mahu lakukan siasatan yang lebih mendalam seperti yang telah diminta oleh parti-parti pembangkang.
Huru-hara di Korea Selatan
Selepas ucapan dan arahan awamnya yang penuh dramatik itu, pasukan keselamatan menutup Dewan Negara, helikopter mendarat di atas bumbung dan tentera memasuki bangunan itu untuk masa yang singkat.
Pun begitu, seramai 190 ahli parlimen berjaya masuk ke parlimen dan mengundi sebulat suara untuk menolak deklarasi Presiden Suk-yeoldan menggesa undang-undang tentera ditarik balik.
Di luar bangunan berkenaan, ratusan penunjuk perasaan berkumpul serta ramai yang menaikkan sepanduk serta menyeru supaya Presiden Suk-yeol ditangkap.
🇰🇷🚨‼️ SUMMARY OF THE CRAZY EVENTS IN SOUTH KOREA:
1) The president of South Korea expected an impeachment from the opposition.
2) To prevent that, he declared martial law banning all political activity!
3) The Korean army came and closed off the parliament to prevent MPs to… pic.twitter.com/Ez5UcQutFR
— Lord Bebo (@MyLordBebo) December 3, 2024
Disebabkan keadaannya yang semakin ‘tersepit’, Presiden Suk-yeol menarik balik arahan berkenaan berikutan undian penggubal undang-undang. Kabinetnya juga meluluskan usul untuk membatalkan perintah undang-undang ketenteraan itu.
Kemelut politik di Korea Selatan ini dilihat sebagai cabaran terbesar kepada masyarakat demokratik itu dalam beberapa dekad.
Malah, ramai pakar berpendapat ia mungkin lebih merosakkan reputasi Korea Selatan sebagai sebuah negara demokrasi berbanding rusuhan 6 Januari di AS.
Suber: BBC, Harian Metro, X