Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky hari ini mengesahkan pasangan beregu lelaki nombor tiga negara iaitu Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei telah memutuskan untuk berpisah.
Menurut laporan Berita Harian, kedua-duanya membuat keputusan itu selepas gandingan mereka semakin tidak menjadi dan masing-masing mahukan sesuatu yang lebih baik buat mereka.
Pun begitu, menurut Rexy keputusan pasangan yang juga dikenali sebagai Team Tangan Kuat itu belum boleh dimuktamadkan memandangkan keputusan akhir perlu dibuat barisan kejurulatihan.
“Belum ada keputusan sama ada mereka dipisahkan atau kekal kerana saya perlu menunggu semua jurulatih lain kembali dari Indonesia Masters.
Kami akan berbincang mengenainya sebelum membuat keputusan,” katanya.
Goh Sze Fei dalam sebuah kenyataan memberitahu kedua-dua mereka sudah tidak ada ‘rasa’ lagi dan merasakan kedua mereka harus berpisah bagi mengembangkan karier masing-masing.
“Adin cakap sudah takde rasa, jadi itu signal buat saya”
Berikut kenyataan dari Goh Sze Fei mengenai keputusan yang di ambil oleh mereka….
More on @ASTROARENA pic.twitter.com/6zBUmJKUhn
— Syifa Nasir (@syfansr) January 26, 2023
Sebagai info, Nur Izzuddin dan Sze Fei pernah meraih gelaran Terbuka Jerman (Super300) tahun lalu namun mereka gagal mempamerkan aksi yang konsisten.
Mereka juga tersingkir daripada pusingan kedua Terbuka Singapura, Kejohanan Dunia dan Terbuka Perancis tetapi berjaya mara ke suku akhir Terbuka Thailand dan Masters Indonesia.
Tahun ini, kedua-duanya mengalami kekalahan pada pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India sebelum menarik diri daripada Indonesia Masters yang kini sedang berlangsung.
Baca: “Mula sekadar suka-suka” – Ibu Thinaah Dedah ‘Rahsia’ Kejayaan Atlet Badminton Kebangsaan