Penduduk Kampung Morten, sebuah perkampungan tradisional Melayu yang bersejarah di Bandaraya Melaka kesal dengan penularan gambar banjir yang menunjukkan seakan-akan kawasan tersebut telah menjadi pulau.
Menurut pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kg Morten, Jalina Mahmood, perbuatan menyebarkan gambar yang kurang tepat tentang situasi banjir di kawasan tersebut adalah tidak bertanggungjawab.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa gambar yang tersebar tersebut dikatakan telah diambil dari sebuah bangunan tinggi yang berada bersebelahan kampung tersebut dan tidak menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku.
Perbuatan menularkan gambar tersebut difahamkan bukan sahaja menimbulkan kemarahan penduduk tetapi turut menjejaskan industri pelancongan kampung tradisi ini terutamanya peniaga-peniaga makanan disana.
“Gambar tersebut tak menunjukkan situasi sebenar Kg. Morten, sebenarnya bukan semua rumah terjejas dek kerana banjir, sebahagian sahaja terjejas”
Menjelaskan situasi sebenar, menurut Jalina lagi, memang berlaku banjir di kawasan perkampungan tradisi tersebut Sabtu lalu, namun hanya sesetengah rumah sahaja yang terjejas kerana kedudukan rumah tersebut yang berada di kawasan yang lebih rendah dari rumah lain.
Tambahnya lag, kejadian banjir di Kampung Morten sebenarnya berlaku dengan kerap namun tidak seteruk yang digambarkan, hanya melibatkan beberapa buah rumah dan air yang naik biasanya surut dengan cepat.
Jelasnya lagi, disebabkan kedudukan kampung tersebut yang terletak bersebelahan dengan Sungai Melaka ini, agak kerap juga air sungai melimpah keluar lagi-lagi sekiranya hujan lebat berpanjangan atau ketika fenomena air pasang.
Apa yang dikesalkan penduduk disana ialah sejak viral gambar keadaan kampung tersebut yang kini seakan-akan pulau, pendapatan mereka terjejas teruk kerana orang ramai dan pelancong tidak melawat ke kawasan berkenaan.
Menurut penduduk-penduduk yang ditemubual, mereka berharap agar pelancong dan orang ramai kembali melawat kampung tersebut selepas mengetahui keadaan sebenar.
Baca : [VIDEO] – Teringin Nak Naik Pelamin? Korang Boleh Cuba Kedai Kenduri Kawin Kat Melaka!