Isu jurugambar bebas atau ‘ulat gambar’ yang berlegar di sekitar bangunan ikonik di ibu negara iaitu Menara Berkembar Petronas atau KLCC nampaknya masih belum selesai walaupun masyarakat sering mengadu mengenai masalah ini.
Golongan ‘ulat gambar’ ini kurang disenangi orang ramai kerana pernah timbul kes pengunjung ditipu apabila menggunakan servis mereka.
Malah, ada juga yang bertindak agresif apabila pengunjung menolak servis mereka dan juga dimarahi jika menggunakan kamera sendiri untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan KLCC.
Artikel berkaitan: Individu Buat Servis Ambil Gambar Sekitar KLCC Mengaku Orang Malaysia Undang Pertikaian Netizen?
Artikel berkaitan: Tak Hirau Bahaya, Pelancong Bergambar Di Jalan Raya KLCC Semata Nak ‘Spot’ Cantik
Ulat gambar tak puas hati dirakam
Baru-baru ini, tular satu perkongsian video di Facebook memaparkan seorang jurugambar menunjukkan rasa tidak puas hati apabila mendapati dirinya dirakam orang awam.
Dalam video tersebut, seorang makcik sedang merakam video pemandangan KLCC dari dalam kereta.
Secara tiba-tiba, seorang jurugambar yang berada berdekatan memandang ke arah makcik itu dan marah kerana menyangka dia dirakam.
“Tak ada kerja lain ke? Mana boleh rakam-rakam macam tu. Akak rakam saya buat apa?” kata jurugambar terbabit.
Namun, makcik berkenaan kembali menjawab bahawa dia hanya merakam pemandangan KLCC dan bukannya jurugambar tersebut.
Rata-rata netizen yang melihat video itu mendakwa kemungkinan jurugambar berkenaan berasa takut kerana sedang melakukan kegiatan yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, netizen juga memuji tindakan berani perakam yang tidak gentar membongkarkan aktiviti ‘ulat gambar’ di sana.
Sumber: Facebook