Baru-baru ini, tular gambar pelakon lagenda Jackie Chan yang hampir mencecah 70 tahun dan penampilan terkini beliau dikatakan mendapat reaksi dan komen yang kurang enak dari netizen.
Mana tidaknya, ada segelintir telah mempersenda pelakon tersebut yang sudah semakin tua dan komen itu membuatkan seorang lagi pelakon legenda Hong Kong, Sammo Hung yang terkilan dan membidas balik kecaman netizen.
Gambar yang tular itu dikatakan berlaku dalam satu acara di China yang mana ramai meninggalkan komen tentang penampilan pelakon veteran itu yang semakin menua dan Sammo Hung terpanggil untuk memberikan komen mengenai perkara tersebut.
“Siapa yang tak akan tua? Yang penting dia masih kekal sihat pada usianya”
Sammo Hung yang kini telah berusia 72 tahun itu memberikan jawapan tersebut ketika menjawab soalan wartawan selepas menghadiri acara makan malam yang dianjurkan oleh persatuan pengarah filem Hong Kong.
Tambahnya lagi, netizen kini berlagak seolah-olah mereka tidak akan menjadi tua selain menyelar mereka yang mencemuh Jackie Chan.
Sammo yang datang ke acara tersebut dengan menggunakan tongkat menyatakan kakinya masih sakit dan mengakui yang dia kini tidak lagi ke gimnasium untuk berlatih susulan daripada menjalani pembedahan kaki pada tahun 2017.
Menurut Sammo, walaupun Jackie Chan teruk menerima kritikan kerana sudah tua, namun sebenarnya ramai juga yang berterima kasih dengan beliau kerana telah menjadi sebahagian daripada masa kecil atau remaja mereka.
Sumber : The Straits Times