Semalam heboh di seluruh Malaysia apabila pasangan influencer telah direman kerana disyaki menyeleweng derma yang diberikan oleh orang ramai melalui satu platform kutipan derma dalam talian.
Susulan kes itu, seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Emirhaqim mendedahkan modus operandi platform derma terbabit yang mana dia juga hampir terjerat dengan penyelewengan itu.
“Tujuan hantaran ini bukan nak bincangkan siapa bersalah atau siapa betul tapi saya cuma nak cerita pasal modus operandi je. Bila isu ni dah tular barulah orang bongkarkan yang nama syarikat kutip derma tersebut.”
“Logo cantik, nampak legit”
Katanya, dia juga menerima e-mel daripada wakil syarikat platform kutip derma terbabit. Pada awalnya, dia berasa tertarik dengan platform itu kerana merasakan ia syarikat yang sah.
Bercerita lanjut, syarikat terbabit mahu berkolaborasi dengan pempengaruh menerusi beberapa kempen kutipan derma yang mereka sediakan.
Artikel berkaitan: Individu Didakwa Pihak Madrasah Tuntut Kutipan Derma Daripada Aisyah Hijanah Lepas 2 Tahun?
Ujarnya, pihak syarikat akan memberikan 20 peratus daripada jumlah kutipan derma yang telah dibuat oleh pempengaruh.
“Masa ni tak tipu memang aku rasa captured my attention sebab dapat 20% dari jumlah kutipan.
“Kutip RM5,000 dapat RM1,000. Kalau kutip RM50,000? RM500,000?
“Berapa banyak influencer dapat? Ni baru satu kempen,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar proposal mengenai cara bayaran tersebut.
Tambahnya lagi, pempengaruh hanya perlu mempromosi kempen kutipan derma itu menerusi video pendek seperti tazkirah mengenai sedekah dengan meletakkan satu link yang sudah disediakan oleh platform terbabit.
Bagi dirinya, meskipun rasa tertarik dengan tawaran itu namun dia berasa tidak sedap hati kerana komisen yang diterima itu datang daripada duit kutipan derma.
Malah, dia juga berapa terkejut apabila mengetahui ada beberapa pempengaruh yang sanggup menerima tawaran tersebut.
Dia menjelaskan telah menolak tawaran tersebut dan mengucapkan tahniah kepada pempengaruh media sosial lain yang turut melakukan perkara sama.
Selain pasangan pempengaruh ini, turut direman ialah dua lelaki yang merupakan pengarah dan pemegang saham terbesar sebuah platform kutipan bantuan.
Sumber: Instagram