Umum mengetahui, selepas dunia dilanda wabak Covid-19 pada tahun 2020, bahagian pendidikan antara yang mengalami impak besar, baik dari segi pembelajaran secara atas talian serta waktu persekolahan.
Sesi persekolahan di Malaysia sejak itu bermula pada bulan Mac dan bukan pada bulan Januari seperti sebelum wabak itu berlaku.

Hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui menterinya, Fadhlina Sidek memutuskan bahawa sesi persekolahan akan kembali diawalkan pada Januari bermula 2026 ketika persidangan Dewan Rakyat.
Menurut laporan Astro AWANI, kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.
“KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun.
KPM juga telah melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.
Sukacita saya maklumkan KPM telah memulakan usaha dengan merancang untuk mengawalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada bulan Februari 2025.
Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada 2026,” katanya.
Kenyataan Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjawab soalan Aminolhuda Hassan yang bertanyakan mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan bila persekolahan dapat bermula seperti sediakala.
Baca: 36 Tahun Berkhidmat, Guru Sekolah Tak Pernah Ambil Cuti Sakit