Fenomena hakisan pantai yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, Terengganu telah menyebabkan seorang peniaga celup tepung alami kerugian sebanyak kira-kira RM30,000 apabila ada struktur kedainya musnah akibat ombak.
Pemilik kedai, Siti Rosmaria Mohamad, 48, berkata, dia telah memulakan perniagaan di kawasan pantai tersebut bersama arwah ibunya, Semek Endut, 88, sejak 10 tahun lalu.
Artikel berkaitan : Pernah Tular Jual Ayam Goreng Kunyit RM20, Peniaga Kedai Makan Di Langkawi Didenda RM10,000
Artikel berkaitan : Peniaga Bazaar Di Terengganu Dikecam Pakai Uniform Ala Komun*s Semasa Meniaga
Jelasnya, setiap kali tiba musim tengkujuh, kawasan pantai berkenaan akan terjejas akibat hakisan namun sebelum ini ia langsung tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana jarak antara kedai dan pantai agak jauh.
“Hakisan mula berlaku pada 24 Oktober lalu menyebabkan 60 kerusi, 10 meja makan dan dua gazebo di kedai hanyut dibawa ombak jam 1 pagi (25 Oktober).
“Saya terkejut apabila penduduk memberitahu barangan di kedai hanyut kerana sehari sebelum kejadian, saya menjalankan perniagaan seperti biasa dan cuaca ketika itu elok, laut pun tidak bergelora sehinggalah saya menutup perniagaan jam 7 malam.
“Memang saya terkejut dan sedih melihat banyak kerosakan malah sebahagian tapak kedai dan barangan juga ‘hilang’ dihanyutkan arus ke laut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kata ibu kepada 5 anak yang berusia 12 hingga 24 tahun itu lagi, dia reda dengan kejadian yang berlaku walaupun hilang punca rezeki dan terpaksa menutup perniagaan.
Malah Rosmaria atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ros ini turut berkata bahawa, kejadian kali kedua berlaku pada Sabtu lalu menyebabkan sebahagian lagi struktur kedai hanyut disebabkan hakisan teruk akibat hujan lebat dan ombak besar.
“Kini sebahagian kedai yang saya bina bersama arwah ibu ketika hayatnya sejak 10 tahun lalu sudah berada di dalam laut.”
“Walaupun ibu sudah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu, saya tidak bercadang untuk menjalankan perniagaan di tempat lain kerana banyak kenangan indah saya bersama ibu di kedai ini,” katanya.
Siti Rosmaria berkata, dia tidak pasti sama ada mahu meneruskan perniagaannya atau tidak selepas habis musim tengkujuh memandangkan tapak dan persekitaran kedai rosak akibat hakisan.
Sumber : Harian Metro